Terima Kasih Kepada Jentera Dan Pengundi, BN Tak Gagal Sepenuhnya Di Sungai Kandis

SHAH ALAM, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh jentera parti dan pengundi yang telah memberikan sokongan kepada parti berkenaan.

Menurut beliau walaupun keputusan PRK tersebut tidak memihak kepada BN, namun sebagai sebuah parti yang baharu sahaja mengalami kekalahan pada pilihan raya umum lalu, terdapat tanda-tanda kebangkitan yang cukup baik.

“Saya berharap jangan ada yang kecewa dengan kegagalan ini… kita tidak gagal sepenuhnya. Hari ini jumlah majoriti mereka menurun. Ini bermakna ada indikasi yang jelas UMNO dan BN masih relevan.

“Ini bermakna kedudukan pembangkang masih diperlukan. Ini semua titik permulaan,” katanya kepada UMNO-Online, di Bilik Gerakan BN Sungai Kandis.

Lokman seterusnya yakin dan percaya semangat yang ditunjukkan oleh jentera hari ini merupakan perkara yang positif.

“Tinjauan kita pada hari pengundian tadi, jentera BN berkempen hingga ke saat akhir…tidak ada yang balik awal. Ini satu perkara yang positif dan semangat yang ditunjukkan jentera parti dengan tangan diikat, akaun dibekukan dan sebagainya tetapi mereka semua tetap bersemangat,” katanya di Bilik Gerakan BN Pusat, di sini, hari ini.

Lokman seterusnya berkata BN akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan bahawa keyakinan rakyat kepada BN akan dapat ditingkatkan.

“Begitu juga teman-teman Pas yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi…kepimpinan mereka membuat kenyataan yang positif. Cuma kita kena faham proses kerjasama ini setelah lebih 60 tahun tidak dalam satu kapal. Proses ini memakan masa dan yakin ukhuwwah hubungan selepas ini lebih erat,” katanya. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit