Ahli Parlimen Jerantut Dan Cameron Highlands Tegas Ulangi Pendirian Pegang Teguh Keputusan MKT

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dengan tegas mengulangi pendirian mereka tetap memegang teguh keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu.

Menurut Ahmad Nazlan, beliau membuat kenyataan semula bagi menangkis tindakan sesetengah pihak yang berkata kononnya beliau telah mengubah pendirian.

“Dengan ini menyatakan bahawa saya mengikut keputusan MKT UMNO pada 7 Julai 2021 iaitu menarik sokongan terhadap Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Haji Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri dan juga kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kenyataan ini saya buat sekali lagi bagi menafikan bahawa saya sudah mengubah pendirian. Saya telah membuat surat akuan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021 dan tentunya saya akan mengotakan kata-kata saya.

“Saya berharap mana-mana pihak di luar sana tidak lagi menggunakan nama saya bagi mengelirukan mana-mana pihak,” katanya dalam satu sidang media Ahad malam.

Untuk rekod pada 7 Julai lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat MKT secara maya berkata, ekoran kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat, UMNO membuat keputusan menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Mahiaddin selaku Perdana Menteri.

Begitu juga dengan Ramli, tetap mengikut keputusan parti dan akan terus bersama UMNO.

“Dengan ini mengabsahkan bahawa saya mengikut keputusan yang telah dibuat oleh MKT UMNO pada 7 Julai lalu. Dengan ini saya mengabsahkan bahawa saya telah menarik sokongan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Saya telah dilantik dan telah diundi sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands. Saya akan terus bersama UMNO. Dengan ini juga saya akan menjunjung titah Yang d-Pertuan Agong,” katanya dalam satu sidang media juga pada Ahad malam.

Sebelum ini, kedua-duanya pernah membuat kenyataan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan juga kerajaan PN.

Sebagai rekod juga, pada Selasa minggu lepas, Ahmad Zahid di dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat MKT secara maya berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN pimpinan Mahiaddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.