Kegagalan Laksana Titah Agong Bukti Penderhakaaan, Jelas Cabar Kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan – UMNO Kelantan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub merasa amat kesal dengan Kerajaan pimpinan Tan Seri Mahiaddin Md Yasin yang jelas melakukan penderhakaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Agong.

Katanya, kenyataan media Istana Negara pada Khamis lalu bukan sahaja mendedahkan bahawa Tuanku Yang di-Pertuan Agong belum pun memperkenankan pembatalan semua Ordinan Darurat sebagaimana dakwaan Menteri Undang-Undang dalam Dewan Rakyat 26 Julai lalu, tetapi jelas telah menitahkan supaya semua Ordinan Darurat tersebut dibahaskan dan diungkaikan di dalam Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 150 (5) Periembagaan Persekutuan.

“Kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu bentuk penderhakaan yang nyata, sehinggakan Tuanku Yang di-Pertuan Agong sendiri terpaksa mengeluarkan warkah khas bagi menjelaskan lagi kronologi dan justifikasi pendirian baginda kepada Perdana Menteri.

“Malah kenyataan berbaur angkuh yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebelum itu yang menjawab kenyataan Istana Negara juga menyerlahkan sikap Perdana Menteri yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.

“Penutupan Parlimen atas alasan diserang virus COVID-19 juga hanya menyerlahkan lagi sikap Kerajaan yang sanggup mempermain-mainkan dan meremehkan sistem demokrasi Berparlimen. Ini satu lagi tindakan derhaka terbaru yang dilakukan Kerajaan sedangkan Tuanku sudah bertitah lebih daripada tiga kali mengenainya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Justeru kata Ahmad Jazlan, Badan Perhubungan UMNO Kelantan berpendirian tegas mendesak Tan Seri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Selaku Ketua Kerajaan Perikatan Nasional, beliau bertanggung-jawab sepenuhnya atas penderhakaan yang dilakukan.

“UMNO Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan dan membela Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan asas-asas dan matlamat perjuangan UMNO yang diperuntukkan dalam Fasal 3.2 Perlembagaan UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.