Dokumen Pengampunan Najib Tersebar, Kerajaan Digesa Siasat – Hairi

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kerajaan digesa mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh berhubung penyebaran dokumen atau minit berkaitan urusan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa tersebar kepada umum.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai bagaimana dokumen berkenaan boleh tersebar, pihak yang bertanggungjawab serta tindakan yang telah diambil bagi menangani perkara itu.

Screenshot

Menurut beliau, minit Lembaga Pengampunan bukan dokumen biasa kerana ia menyentuh secara langsung kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika benar dokumen itu telah dinyahklasifikasikan, kerajaan wajib menjelaskan bila keputusan itu dibuat, atas kuasa siapa, dan sama ada perkenan Yang di-Pertuan Agong telah diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa institusi Raja Berperlembagaan perlu dihormati dan tidak seharusnya dijadikan bahan permainan politik oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkaitan penyebaran dokumen berkenaan tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan kerana ia melibatkan persoalan kerahsiaan, amanah dan integriti pentadbiran.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan memaklumkan perkembangan awal kepada rakyat dalam tempoh tidak melebihi 72 jam, termasuk pihak yang mengendalikan siasatan serta tindakan susulan yang bakal diambil.

“Sesiapa yang cuai atau menyalahgunakan kedudukan mesti dipertanggungjawabkan, tanpa pilih kasih dan tanpa mengira pangkat atau parti,” tegasnya.

Mohd Hairi turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan alasan siasatan sedang berjalan untuk melengahkan penjelasan, sebaliknya memberikan maklumat yang sewajarnya kepada rakyat.

Beliau menegaskan desakan supaya perkara itu disiasat bukan bermaksud memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menghina atau mencabar institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dan menggunakan saluran yang sah.

“Kerajaan Madani mesti berhenti berselindung di sebalik slogan. Buktikan kecekapan dan integriti melalui siasatan yang pantas, telus dan berani bertindak.

“Jika kerajaan sendiri gagal menjaga tatakelola, siapa lagi yang patut dipertanggungjawabkan?” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO