OSD Bawah Taman Permainan, Iskandar Puteri Adaptasi Konsep Tangani Banjir Kilat
ISKANDAR PUTERI, 2 Nov – Penduduk tidak perlu lagi berdepan dilema antara keperluan mengatasi masalah banjir kilat dengan kehilangan kawasan rekreasi apabila pendekatan inovatif sistem takungan air bawah tanah atau On-Site Detention (OSD) mula dilaksanakan di Iskandar Puteri.
Dengan kos RM400,000, kemudahan yang diadaptasi daripada konsep sistem saliran di Singapura itu dibina di bawah kawasan taman permainan bagi menampung limpahan air hujan sebelum dilepaskan secara berperingkat apabila keadaan aliran air kembali terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pendekatan berkenaan membolehkan masalah banjir kilat ditangani tanpa perlu mengorbankan kawasan lapang yang menjadi kemudahan penduduk.

Menurut beliau, struktur takungan berbentuk kotak yang dibina di bawah tanah itu berfungsi menyimpan lebihan air hujan buat sementara waktu, manakala kawasan di atasnya kekal sebagai taman permainan dan ruang rekreasi untuk kegunaan masyarakat.
“Keutamaan kita adalah memastikan penduduk mendapat penyelesaian terhadap masalah banjir kilat tanpa kehilangan kemudahan awam yang mereka gunakan setiap hari.
“Dengan kaedah ini, bahagian bawah tanah berfungsi sebagai takungan air, sementara kawasan di atasnya boleh terus dimanfaatkan sebagai taman permainan dan tempat rekreasi keluarga,” katanya.
Antara projek yang dilaksanakan termasuk kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan kerja berkaitan di Jalan
Zapin, Jalan Inang, Jalan Baung serta kawasan sekitarnya di Skudai.
Selain itu, projek membina dan menyiapkan kolam takungan OSD serta kerja-kerja berkaitan turut dilaksanakan di tanah lapang dan kawasan rekreasi MBIP membabitkan Lot 39788 dan Lot 39633, Jalan Hang Tuah, Taman Skudai Baru.
Dalam perkembangan sama, sebuah lagi kemudahan OSD bakal dibina oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Kampung Mohd Amin dengan peruntukan melebihi RM1 juta.
Mohd Jafni berkata, pelaksanaan kemudahan seumpama itu merupakan antara pendekatan yang boleh dimanfaatkan dalam menangani cabaran sistem saliran di kawasan bandar yang semakin pesat membangun.
Beliau menegaskan, setiap pembangunan infrastruktur perlu mengambil kira keperluan sebenar rakyat, khususnya aspek keselamatan kediaman, pengurusan air hujan serta penyediaan kemudahan awam yang berkualiti.

“Matlamat kita jelas, penduduk mahu kawasan kediaman yang lebih selamat, masalah banjir dapat dikurangkan dan pada masa sama anak-anak masih mempunyai tempat untuk bermain serta keluarga boleh menikmati kawasan rekreasi.
“Justeru, kita perlu meneroka kaedah yang lebih kreatif dan praktikal supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pendekatan OSD ini turut memperlihatkan usaha mengintegrasikan keperluan infrastruktur bandar dengan pemeliharaan ruang awam, sekali gus memberi pilihan penyelesaian pengurusan banjir yang lebih efisien tanpa menjejaskan kemudahan komuniti. – UMNO Online
