UMNO Bentong Perkukuh Gerak Kerja, Sentiasa Siap Sedia

BENTONG, 1 Nov – Kesiapsiagaan jentera parti serta kebajikan rakyat terus menjadi antara fokus utama UMNO Bahagian Bentong dalam usaha memperkemaskan gerak kerja parti dan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, perkara itu antara yang diberi perhatian dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong yang dipengerusikannya baru-baru ini.

Menurut beliau, persiapan menghadapi pilihan raya tidak seharusnya hanya bermula apabila tiba musim pilihan raya, sebaliknya jentera parti perlu sentiasa bersedia dan aktif mendekati masyarakat.

“Kesiapsiagaan bukan hanya apabila pilihan raya semakin hampir. Jentera parti perlu sentiasa berada di lapangan, mendengar denyut nadi rakyat serta memahami isu dan keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti kemasyarakatan akan terus diperkasakan, termasuk menerusi program Ziarah Kasih bagi menziarahi ahli parti, masyarakat setempat serta pesakit yang sedang berhadapan dengan penyakit kritikal.

Katanya, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan parti terus memberikan perhatian terhadap kebajikan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“UMNO mesti terus hadir ketika rakyat memerlukan perhatian dan bantuan. Kebajikan masyarakat tidak boleh diketepikan dan perlu menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan Bahagian Penerangan untuk memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada masyarakat, selain menjelaskan isu semasa serta menangani kekeliruan dan fitnah berlandaskan fakta serta pendekatan berhemah.

Mengulas peranan sayap parti, Mohamad Zaini berkata, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bentong juga perlu terus mempergiatkan aktiviti serta pendekatan masing-masing bagi mendekati masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama semua peringkat kepimpinan dan jentera parti amat penting dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

“Insya-Allah, dengan kesatuan hati, kerja berpasukan dan gerak kerja yang tersusun, kita akan terus memperkukuhkan UMNO Bahagian Bentong dan memastikan jentera sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kita bergerak sebagai satu pasukan, kita berkhidmat untuk rakyat dan kita bersedia menghadapi PRU akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO