Pahang Perluas Anugerah Kampung Tradisi, Galak Peningkatan Kualiti Hidup

KUANTAN, 22 Okt – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan hadiah keseluruhan RM200,000 menerusi Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st bagi mengiktiraf kampung yang berjaya meningkatkan kualiti hidup penduduk dari aspek fizikal, sosial dan ekonomi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menggalakkan pembangunan kampung yang lebih terancang, seimbang dan mampan, tanpa mengabaikan identiti serta warisan masyarakat setempat.

Kampung Merapoh, Lipis dinobatkan sebagai Kampung Tradisi Terbaik tahun ini, sekali gus membawa pulang hadiah RM100,000.

Menurut beliau, pengiktirafan itu diharap menjadi pemangkin kepada kampung-kampung lain untuk terus meningkatkan kesejahteraan komuniti, termasuk dari segi kemudahan, persekitaran dan pembangunan sosioekonomi penduduk.

“Insya-Allah, inisiatif ini akan diperluaskan lagi pada tahun hadapan bagi menggalakkan lebih banyak kampung tradisi menyertai anugerah ini, sekali gus mencetuskan persaingan yang sihat dalam usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 yang bertemakan Bandar Kita, Masa Depan Kita: Bersama Melakar Pahang Makmur, Berdaya Tahan dan Sejahtera.

Wan Rosdy berkata, pembangunan bandar dan desa tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan bangunan serta infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui persekitaran yang selesa, kemudahan awam berkualiti dan kehidupan yang lebih sejahtera.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri komited memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan secara teratur dan mampan, selaras dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st demi memenuhi keperluan rakyat serta menjamin kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga PLANMalaysia Pahang atas komitmen berterusan dalam memastikan perancangan pembangunan negeri dilaksanakan dengan berkesan.

Usaha berkenaan diharap dapat memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja memajukan kawasan bandar dan luar bandar, malah memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menikmati kemudahan lebih baik, mengekalkan warisan kampung serta meningkatkan taraf hidup.

Kerajaan negeri berharap pendekatan pembangunan yang berteraskan kesejahteraan rakyat itu dapat membentuk Pahang yang lebih makmur, berdaya tahan dan sejahtera. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO