Teresa Setuju Tak Buka Sekolah Persendirian Cina Kepada Anak-Anak Pelarian? – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersetuju atau tidak untuk membuka sekolah persendirian Cina kepada anak-anak pelarian.
Ini kerana katanya, Teresa gagal memahami masalah yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuklah kekurangan fasiliti.

“Di Parlimen baru-baru ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyatakan bahawa beliau bersetuju agar KPM membuka sekolah kepada anak-anak pelarian termasuklah Rohingya.
“Saya agak pelik sebenarnya. Beliau faham atau tidak masalah yang KPM hadapi sekarang ini? Anak-anak kita sendiri yang belajar di sekolah-sekolah ini pun fasilitinya tidak mencukupi.
“Ada kelas yang mempunyai 35 sehingga 40 orang pelajar. Ada pula di sesetengah kelas mahupun sekolah yang rosak fasilitinya seperti meja, kerusi dan bermacam-macam lagi,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Tambahnya, isu kekurangan dan pertambahan bebanan guru juga perlu diberikan perhatian sebelum sekolah dibuka kepada anak-anak pelarian.

“Ada juga sekolah yang tidak cukup tenaga pengajar. Beban guru semakin tinggi. Kalau untuk anak-anak yang warganegara Malaysia sendiri nak belajar pun fasiliti tak lengkap… macam mana kita nak buka kepada anak-anak pelarian?
“Sepatutnya sebagai ahli parlimen, beliau perlu memahami terlebih dahulu masalah yang dihadapi oleh KPM dan bahaslah isu-isu ini untuk ditambah baik. Bukannya membahaskan agar sekolah bawah KPM dibuka kepada anak-anak pelarian.
“Jadi, saya mencadangkan kepada Teresa Kok agar sekolah persendirian Cina yang saya lihat lengkap dengan segala fasiliti ini dibuka untuk anak-anak pelarian supaya mereka boleh belajar secara percuma. Setuju atau tidak?” soalnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyokong cadangan agar Kementerian Pendidikan membenarkan kanak-kanak pelarian mendaftar di sekolah kerajaan.
Beliau berkata cadangan tersebut terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Pengurusan Pelarian di Malaysia, yang dibahaskan di Dewan Rakyat.
“Saya menyokong sepenuhnya cadangan UNHCR ini dan berharap Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan sewajarnya supaya anak pelarian mampu membaca dan menulis,” katanya. – UMNO Online
