KUSKOP Perkasa PMKS Melalui Pendigitalan, MyMall Catat Jualan RM24.5 Juta

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai inisiatif pendigitalan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing, produktiviti serta mengurangkan kesan peningkatan kos operasi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian telah merangka Pelan Strategik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2030 bagi mentransformasikan sektor tersebut ke arah perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing dan berupaya menyesuaikan diri dengan trend baharu serta cabaran luar jangka.

Menurut beliau, antara usaha yang dilaksanakan ialah pengenalan platform MyMall pada tahun 2022 sebagai ekosistem keusahawanan digital yang menyediakan ruang pemasaran e-dagang secara percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan.

“Sehingga 31 Mei 2026, seramai 5,776 peniaga telah berdaftar di MyMall dengan nilai jualan terkumpul mencecah RM24.5 juta,” katanya ketika menjawab sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau seterusnya berkata usahawan PMKS digalakkan memanfaatkan platform berkenaan bagi memperluaskan pasaran secara dalam talian tanpa perlu menanggung kos tambahan, sekali gus membantu mengurangkan beban operasi perniagaan.

“Selain MyMall, KUSKOP turut melaksanakan beberapa program pendigitalan bagi meningkatkan keupayaan usahawan, termasuk inisiatif TikTok Shop bersama TEKUN Nasional yang menyediakan kemudahan studio penstriman langsung berteknologi tinggi,” tambahnya.

Menurut beliau, setakat ini seramai 1,054 usahawan telah menggunakan kemudahan tersebut dan berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM35.1 juta.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) turut melaksanakan Program Bimbingan dan Latihan Perseorangan Bumiputera (BANGKIT) serta Latihan Keusahawanan INSKEN (MOFA) yang memberi penekanan kepada aspek pendigitalan perniagaan, termasuk penggunaan sistem jualan (POS), pemasaran media sosial dan e-dompet.

Beliau berkata Bank Rakyat juga memainkan peranan menerusi Program Jajahan Rakyat yang menyediakan sokongan pembangunan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan.

“Program ini telah melibatkan seramai 627 usahawan, dengan 236 usahawan atau 40 peratus berjaya didigitalkan melalui inisiatif berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, menerusi Program Jajahan Rakyat, Bank Rakyat turut merekodkan pembiayaan berjumlah RM610,000 selain pembukaan Akaun Semasa dan Simpanan bernilai RM194,000.

Mohamad Alamin berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan KUSKOP membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara serta memastikan PMKS terus berkembang secara mampan dalam era ekonomi digital.

Terdahulu Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar memintaMenteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan sama ada Kerajaan bercadang mewujudkan dasar dan mekanisme perlindungan khusus bagi membantu usahawan digital tempatan meningkatkan daya saing, produktiviti dan akses pasaran berbanding penjual luar negara yang menikmati kelebihan kos operasi.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO