Wanita UMNO Lembah Pantai Tekad Terus Perkukuh Semangat Perjuangan Hadapi PRU-16

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datin Nor Asyikin Jaafar memperkukuh tekad perjuangan bersama seluruh jentera parti agar terus memainkan peranan aktif dalam usaha pemulihan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Berucap pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Lembah Pantai Tahun pada Ahad, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua-Ketua Wanita Cawangan serta perwakilan daripada 51 cawangan yang hadir bagi meneruskan perjuangan parti yang disifatkannya sebagai keramat dan masih relevan kepada rakyat.

Menurut beliau, walaupun UMNO kini tidak lagi berada dalam kedudukan dominan seperti sebelum ini, parti itu masih mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam pentadbiran negara.

“Walaupun UMNO hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen, parti ini masih diberikan kepercayaan dengan lapan jawatan menteri dan lima timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Ini membuktikan negara masih memerlukan khidmat pemimpin UMNO dalam pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman lebih 60 tahun mentadbir negara menjadi asas kepada keyakinan rakyat dan kerajaan bahawa UMNO masih mampu membawa kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan kepada negara.

Nor Asyikin turut mengingatkan ahli-ahli Wanita UMNO supaya tidak terperangkap dengan polemik media sosial atau pertelingkahan sesama sendiri, sebaliknya memberi fokus kepada kerja lapangan dan mendekati rakyat.

“Perjuangan sebenar kita adalah turun ke padang, mendekati rakyat, memahami denyut nadi mereka dan memastikan suara mereka terus dibela. Itulah kekuatan sebenar UMNO yang tidak boleh dipertikaikan,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan anggota Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti yang sentiasa setia berkhidmat ketika parti berada di puncak mahupun ketika berdepan cabaran.

“Kalau kita tidak kuat, siapa lagi yang akan kuat? Kita bukan sekadar sayap parti, tetapi tulang belakang yang sentiasa mendukung perjuangan,” katanya sambil menyeru ahli supaya terus bersatu, membuang sifat dengki dan memperkukuhkan ukhuwah sesama anggota.

Beliau turut menggariskan strategi “4M” sebagai persediaan menghadapi PRU-16 iaitu Mesra, Media, Mahir dan Menang.

Bagi aspek Mesra, beliau menggesa setiap ahli menjalankan program ziarah dan mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta menjalin hubungan baik dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sementara untuk Media, beliau menyeru ahli memanfaatkan media sosial secara berkesan.

Bagi Mahir, Nor Asyikin menekankan kepentingan penguasaan Sistem Jalinan Rakyat (SIJR) serta JR Digital bagi memastikan pengurusan data pengundi lebih tersusun dan berkesan.

Sementara itu, aspek Menang memberi fokus kepada usaha menambah jumlah pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai langkah penting untuk memastikan kemenangan parti.

Dalam simbolik semangat kebersamaan, para perwakilan turut diminta membuka payung yang disumbangkan Datuk Seri Azman Yusoff selaku Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Ujarnya, payung tersebut melambangkan kesediaan Wanita UMNO Lembah Pantai untuk mengharungi segala cabaran dan ujian bersama-sama.

“Payung ini melambangkan hujan, panas dan ribut petir yang akan kita hadapi bersama. Apa jua cabaran yang mendatang, kita akan terus bergerak seiring demi perjuangan parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO