‘Terima Kasih MB Johor Atas Keprihatinan, Cakna Kebajikan Rakyat’ – Pandak
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri Datuk Pandak Ahmad meneruskan siri program turun padang di kawasan dengan menyantuni masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan yang berlangsung.
Terbaharu beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar memulakan turun padang menerusi program Semarak Subuh Johor 2026 di Masjid At-Taqwa, Taman Pulai Utama.
“Terima kasih Pengerusi Masjid dan Barisan Jawatankuasa yang mengalu-alukan kehadiran kami. Seusai Semarak Subuh, terus hadir ke Program Jualan Kasih Johor 2026 DUN Kota Iskandar di Kawasan Rumah Pangsa Lima Kedai, Gelang Patah.
“Seawal jam 8.00 pagi lagi masyarakat setempat dilihat telah beratur untuk membeli set kombo RM15, menawarkan 2000 set dengan barangan seperti seekor ayam, sepapan telur dan sebotol minyak masak dua kilogram.
“Terima kasih kepada Abdul Halim Abdullah, Ketua Kampung Melayu Lima Kedai dan barisan Jawatankuasa serta sukarelawan yang membantu menjayakan program ini sehingga selesai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pandak kemudiannya berbesar hati memenuhi undangan perkahwinan anak kepada mantan Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh di Dewan Taman Pulai Utama sebelum ke Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa Dan Jamuan Makan yang diadakan di Taman Teratai, Skudai.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum serta penyampaian sumbangan Kotak Makanan atau Bakul Kasih Johor kepada penerima yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
“Sambutan diraikan dengan meriah dan mereka yang hadir pelbagai bangsa. Sumbangan Kotak Makanan (Bakul Kasih Johor) juga turut disampaikan kepada penerima yang telah disenaraikan oleh penganjur bagi yang betul-betul memerlukan.
“Terima kasih Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di atas keprihatinan dan cakna kebajikan rakyat dan masyarakat bangsa Johor.
“Saya kemudiannya memenuhi undangan bagi mewakili Ketua Whip Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A Malik ke Jemputan Program Kenduri Sekampung: Jelajah Orang Johor 2026 DUN Skudai di Kampung Sepakat Baru, Skudai.
“Suasana program dihadiri pelbagai kaum dan bangsa yang penuh kemeriahan. Serta menyampaikan hadiah bagi Pertandingan futsal yang juga telah dianjurkan oleh pemuda dalam Jelajah Orang Johor DUN Skudai, di Daiman Sri Skudai, Sports Centre, Skudai,” ujar beliau. – UMNO Online
