Lawatan Teknikal Ke Korea Selatan Perkukuh Input Rancangan Struktur Negeri Melaka 2040

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Lawatan teknikal delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke Seoul City Council dan Seoul Institute membuka ruang kepada perkongsian pelbagai amalan terbaik dalam perancangan bandar yang bakal dijadikan input penting bagi memperkukuhkan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Melaka 2040.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan pembangunan bandar yang diamalkan di Seoul memberikan banyak inspirasi dalam usaha merancang masa depan Melaka yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.

“Pelbagai idea dan amalan terbaik yang kami pelajari sepanjang lawatan ini akan dijadikan input penting dalam memperkukuhkan Rancangan Struktur Negeri Melaka 2040. Fokus utama adalah memastikan Melaka terus berkembang sebagai sebuah negeri yang lebih hijau, pintar, berdaya saing serta berteraskan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, antara perkara yang menarik perhatian ialah pendekatan pembangunan berteraskan rakyat atau people-centric yang diterapkan di Seoul City Council, termasuk penyediaan ruang awam yang luas untuk kegunaan komuniti, kemudahan budaya, galeri warisan, perpustakaan dan kawasan hijau dalam bangunan pentadbiran kerajaan.

“Konsep ini membuktikan bahawa pembangunan bandar tidak hanya tertumpu kepada fungsi pentadbiran semata-mata, sebaliknya mampu mewujudkan ruang yang menggalakkan interaksi sosial, memperkukuhkan komuniti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.

Delegasi turut menghadiri sesi taklimat teknikal di Seoul Institute yang mengetengahkan konsep Bandar 10-Minit menerusi pembentangan bertajuk Building Tomorrow’s Seoul: A Century of Growth, Reform & Vision dan 10-Minute City Project & Seoul 2040.

Konsep tersebut menekankan pembangunan berasaskan kejiranan yang membolehkan penduduk mengakses kemudahan harian, peluang pekerjaan, ruang hijau dan perkhidmatan asas dalam tempoh sekitar 10 minit melalui berjalan kaki, berbasikal atau pengangkutan awam.

Rais berkata pendekatan itu dilihat selari dengan aspirasi Melaka untuk membangunkan bandar yang lebih lestari dan mesra rakyat melalui pengukuhan pusat kejiranan, peningkatan mobiliti aktif serta penyediaan kemudahan awam yang berkualiti.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan jarak jauh, malah mampu memperkukuhkan kesejahteraan komuniti, menangani cabaran urbanisasi dan perubahan iklim serta membentuk persekitaran yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hasil lawatan tersebut akan diteliti dan disesuaikan dengan keperluan tempatan bagi memastikan perancangan pembangunan Melaka sehingga tahun 2040 lebih komprehensif, progresif dan mampu memenuhi aspirasi rakyat serta cabaran masa depan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO