Cuaca Panas Dan Kering Dijangka Berlarutan, Ahmad Zahid Seru Rakyat Bersedia Hadapi El Nino
KUALA LUMPUR, 15 Jun — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat supaya sentiasa bersedia menghadapi risiko cuaca panas dan kering susulan perkembangan fenomena El Niño yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam masa terdekat.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, fenomena tersebut berkemungkinan berterusan sehingga awal tahun 2027 dan dijangka menyebabkan cuaca lebih panas serta kering daripada kebiasaan sepanjang Monsun Barat Daya.
Ujarnya, keadaan itu berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan risiko yang mungkin timbul.
“Saya ingin menasihatkan seluruh rakyat agar sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa. Gunakan air secara berhemah, elakkan aktiviti pembakaran terbuka serta utamakan kesihatan diri dan keluarga, khususnya golongan yang lebih terdedah kepada cuaca panas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut menggesa orang ramai mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi aplikasi myCuaca dan saluran rasmi MET Malaysia bagi memastikan mereka sentiasa mendapat maklumat yang tepat dan terkini.
“Persediaan awal dan tindakan yang bertanggungjawab daripada semua pihak amat penting bagi mengurangkan risiko serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi. – UMNO Online
