Bakul Kasih Johor Bukti Prihatin Golongan Rentan – Fuad Tukirin
KUALA LUMPUR 15 Jun – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sejumlah lebih RM16.8 juta bagi pelaksanaan Program Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang mampu memberi manfaat kepada 280,000 keluarga kurang berkemampuan dalam kalangan B40 di seluruh negeri ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Naning, Datuk Dr Mohd Fuad Tukirin berkata, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, terutama dalam berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan menerusi BKJ bukan sahaja memberi kelegaan kepada penerima, malah membuktikan hasil kemakmuran negeri dapat dikongsi secara adil bersama rakyat.
“Kerajaan negeri Johor sentiasa komited dalam memastikan golongan rentan di negeri ini mendapat perhatian yang sewajarnya dan semoga inisiatif bermanafaat ini mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Johor.
“Ianya merupakan berkat hasil rezeki Kerajaan Negeri yang makmur dengan pencapaian RM2 bilion. Sejumlah lebih RM16.8 juta telah diperuntukkan bagi merealisasikan Program Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi berkongsi rezeki bersama “Bangsa Johor”.
“Pelaksanaan bantuan di bawah inisiatif Maju Johor ini diteruskan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh negeri Johor,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fuad berharap semoga bantuan ini dapat memberikan manfaat dan keberkatan kepada semua masyarakat yang menerimanya.
“Sebanyak 5,000 bakul makanan diagihkan kepada penerima yang layak melibatkan semua 56 kawasan DUN secara berfasa sejak dua tahun lalu yang merangkumi barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan barang dapur lain.
“Agihan bakul makanan menerusi BKJ telah dilaksanakan secara berperingkat ini merupakan sumbangan ikhlas untuk Rakyat Bangsa Johor,” katanya lagi.
Terdahulu, Mohd Fuad meluangkan masa bagi menyempurnakan pengagihan bantuan BKJ kepada para penerima di Dewan Datuk Mohd Fuad, Kampung Parit Haji Zin Bakri. – UMNO Online
