‘PRN Johor Boleh Dijadikan Pertandingan Persahabatan, Bukan Medan Perbalahan’
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mesti dijadikan contoh bahawa parti yang bersaing masih mampu berpolitik secara matang dan profesional.
Beliau berkata, PRN ini seharusnya menjadi pertandingan persahabatan yang menggambarkan budaya politik yang berhemah dan bukan medan perbalahan.
“Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam PRN Johor kali ini sudah masuk ke fasa “point of no return”. Hakikat itu perlu nampaknya harus ditelan oleh semua pihak dalam BN dan Pakatan Harapan (PH). Suka tidak suka, kita perlu berhentilah mengharap keadaan boleh berubah. Keadaan di Johor lain dari negeri lain.
“Kepimpinan utama BN dan PH juga sudah memahami realiti ini. Apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana memastikan PRN ini boleh dijadikan pertandingan persahabatan, bukan medan jentera BN dan PH menyerang satu sama lain.
“Penyokong di bawah pula jangan terlebih sudu daripada kuah. Jangan kerana terlalu ghairah mahu mempertahankan parti sendiri, akhirnya mula melontar fitnah, sindiran melampau dan serangan peribadi. Politik toksik seperti itu hanya menguntungkan musuh sebenar di luar sana iaitu Perikatan Nasional dan Parti Bersama Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Lokman berkata ini kerana BN dan PH pada ketika ini berkongsi tanggungjawab besar di Putrajaya, malah rakyat pada ketika ini sedang memerhati sama ada kedua-dua parti ini sama ada benar-benar matang atau hanya berpakat ketika ada kuasa semata-mata.
Menurut beliau ini kerana sekiranya PRN Johor dipenuhi perkara negatif dan tikam belakang ia akan memberi mesej yang tidak baik kepada rakyat.
“Kita kena faham satu perkara mudah. Bertanding tidak semestinya bermusuh. Dalam demokrasi, pertandingan adalah perkara biasa. Yang tidak normal ialah apabila pertandingan dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian sesama sendiri sehingga menjejaskan kestabilan negara.
“Memang misi di Johor tidak mudah, namun tidak mustahil kita boleh bendung perpecahan yang mungkin boleh berlaku,” ujar beliau.
Katanya lagi, pemimpin BN dan PH perlu memainkan peranan besar untuk menenangkan penyokong masing-masing agar PRN ini tidak memberikan konflik politik yang berpanjangan.
“Jangan ada yang cuba menjadi hero murahan dengan ucapan provokasi demi tepukan sementara. Politik emosional mungkin dapat sorakan pentas, tetapi ia juga boleh meninggalkan luka politik yang panjang.
“Kalau BN menang banyak kerusi, jangan sombong. Kalau PH berjaya merampas kawasan
tertentu, jangan pula angkuh. Semua pihak perlu kembali ke meja kerjasama selepas PRN tamat.
“Johor hanyalah satu pertandingan negeri, sedangkan kestabilan Persekutuan jauh lebih besar nilainya. Akhirnya, rakyat mahu melihat kematangan politik, bukan sarkas politik,” ujarnya. – UMNO Online
