Utamakan Keselamatan Ketika Pulang Beraya Ke Kampung Halaman – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal berkunjung tiba, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menyeru orang ramai yang pulang ke kampung halaman untuk berhati-hati di jalan raya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata, musim perayaan merupakan detik yang dinanti-nantikan untuk berkumpul bersama keluarga, namun aspek keselamatan perlu sentiasa diutamakan sepanjang perjalanan.
“Bagi mereka yang sedang dan bakal memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat jalan.
“Semoga perjalanan anda dan keluarga dipermudahkan serta dilindungi Allah SWT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, setiap pengguna jalan raya perlu sentiasa peka terhadap keadaan kenderaan serta merancang perjalanan dengan baik, selain tidak sesekali mengabaikan peraturan jalan raya.
Jalaluddin turut menegaskan bahawa perkara paling penting dalam setiap perjalanan bukanlah kepantasan untuk tiba di destinasi, sebaliknya keselamatan diri dan keluarga.
“Ingatlah, jalan raya bukan medan perlumbaan. Sila pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang terbaik, rancang perjalanan dengan bijak, dan yang paling utama, patuhilah undang-undang serta peraturan jalan raya. Hormati pengguna jalan raya yang lain dan pandulah dengan penuh sabar.
“Sesuatu yang paling berharga bagi keluarga yang menanti di kampung bukanlah kepantasan kita tiba, tetapi kehadiran kita dalam keadaan selamat dan sejahtera. Pandu cermat, ingatlah orang yang tersayang,” ujar beliau.
Terdahulu Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Muhammad Affendi Jalaludin mengumumkan Hari Raya Aidiladha jatuh pada Rabu, 27 Mei depan bersamaan 10 Zulhijah 1447 Hijrah. – UMNO Online
