Kerajaan Negeri Johor Komited Perkukuh Kebajikan Bakal Jemaah Haji – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 23 April – Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam memperkukuhkan kebajikan bakal jemaah haji melalui pelbagai bentuk bantuan, kata Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Onn Hafiz memaklumkan seramai 500 daripada 3,866 jemaah haji dari Negeri Johor adalah di bahawa Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) untuk memastikan kebajikan para jemaah terpelihara.

“Syukur alhamdulillah, saya dan isteri berpeluang meraikan seramai 500 orang bakal jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah melalui beberapa siri penerbangan bermula 7 hingga 9 Mei 2026 di Dewan Kenanga, MBJB.
“Tahun ini, seramai 3,866 jemaah dari Negeri Johor akan menunaikan ibadah haji daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 500 jemaah adalah di bawah Rombongan Kerajaan Johor (RKJ), termasuk pegawai tadbir negeri dan pembimbing haji yang akan mengiringi serta memastikan kebajikan jemaah terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam memperkukuh kebajikan bakal jemaah haji melalui pelbagai bentuk bantuan. Antaranya, bantuan tambang haji sebanyak RM8,000 seorang kepada 500 jemaah RKJ dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.7 juta,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut memaklumkan bahawa bantuan sebanyak RM300 telah disalurkan kepada semua bakal jemaah haji Johor.

“Selain itu, bantuan RM300 turut disalurkan kepada kesemua 3,866 bakal jemaah haji Johor yang berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.16 juta bagi musim Haji 1447H / 2026M.
“Di samping itu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor turut menyumbangkan pek makanan sedia dimakan (ready-to-eat) dan minuman kepada para jemaah sebagai bekalan sepanjang perjalanan serta ketika berada di Tanah Suci dalam membantu memudahkan urusan jemaah sepanjang menunaikan ibadah haji di Mekah dan Madinah.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji. Semoga semua bakal jemaah haji khususnya dari Negeri Johor dipermudahkan segala urusan, diberikan kesihatan baik, dikurniakan haji yang mabrur dan pulang dengan keampunan serta rahmat Allah SWT. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
