Lebih 95 Peratus Agenda Pencetus Perubahan, Ahmad Zahid Terus Bela Rakyat
LAHAD DATU, 20 April – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen berterusan beliau dalam memperjuangkan agenda rakyat khususnya melibatkan pembangunan luar bandar, pendidikan, kebajikan serta isu tanah adat.
Menurut beliau, sepanjang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid telah berjaya mencapai lebih 95 peratus daripada program pencetus perubahan yang disasarkan.
Sharif Musa berkata, kejayaan itu membuktikan kepimpinan Ahmad Zahid bukan sekadar bersifat dasar, malah diterjemahkan menerusi pelaksanaan yang memberi impak terus kepada rakyat.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mencapai lebih 95 peratus daripada program pencetus perubahan yang disasarkan.
“Fokus utama beliau merangkumi pemerkasaan TVET Tahfiz, pembangunan luar bandar, kebajikan rakyat serta agenda Bumiputera menerusi Rumah Bangsa yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menurut Sharif Musa lagi, pendekatan Ahmad Zahid yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembinaan modal insan turut terserlah menerusi pelaksanaan program TVET Tahfiz, iaitu gabungan pendidikan agama dan latihan kemahiran teknikal.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran, malah membuka ruang masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak luar bandar.
“Kita melihat bagaimana Datuk Seri Ahmad Zahid memberi penekanan kepada usaha melahirkan 140,000 huffaz cilik seawal usia empat tahun.
“Ini bukan sekadar agenda pendidikan, tetapi satu pelaburan besar untuk masa depan negara agar lahir generasi yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan kemahiran,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa agenda Rumah Bangsa yang diperjuangkan Ahmad Zahid merupakan satu pendekatan baharu yang sesuai dengan perubahan semasa dan keperluan masyarakat.
“Rumah Bangsa membawa mesej perpaduan, kekuatan Bumiputera dan keprihatinan kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Datuk Seri Ahmad Zahid sentiasa meletakkan dirinya di sisi masyarakat yang memerlukan bantuan, tanpa mengira latar belakang dan keadaan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas berkesempatan bersama dengan Ahmad Zahid baru-baru ini termasuk para peguam dan pemilik tanah adat bagi membantu proses tuntutan tanah adat Felda.
Mengulas mengenai isu tanah adat, Sharif Musa berkata beliau berkesempatan bersama para peguam dan pemilik tanah adat bagi membantu melancarkan proses tuntutan tanah adat Felda yang telah sekian lama tertangguh.
Menurutnya, seramai 129 peserta tanah adat terbabit dalam proses berkenaan dan mereka memerlukan sokongan semua pihak agar tuntutan tersebut dapat diselesaikan secara adil dan teratur.
“Jutaan terima kasih kepada Datuk Seri yang sentiasa mendengar suara rakyat dan tidak pernah meminggirkan golongan yang memerlukan.
“Seramai 129 peserta tanah adat kini mendapat perhatian sewajarnya dan kita berharap usaha ini akan membawa penyelesaian terbaik kepada mereka,” katanya.
Beliau percaya keprihatinan dan iltizam Ahmad Zahid dalam menyantuni rakyat akan terus memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan UMNO dan Kerajaan Perpaduan, khususnya dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar serta pembelaan hak rakyat terus menjadi keutamaan. – UMNO Online
