Mohd Zaidy Komited Pastikan Projek Beri Manfaat Kepada Rakyat, Naik Taraf Jalan Dilaksana
JEMPOL, 8 April – Usaha berterusan dalam memperjuangkan keperluan rakyat membuahkan hasil apabila peruntukan sebanyak RM1.1 juta diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf Jalan Utama Palong, bermula dari Persimpangan Londah hingga ke Felda Palong 1.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, projek tersebut amat penting memandangkan laluan berkenaan merupakan antara jalan utama yang digunakan setiap hari oleh penduduk setempat.

Menurut beliau, pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan keselesaan, keselamatan serta melancarkan aliran trafik di kawasan tersebut.
“Saya telah turun padang meninjau sendiri lokasi projek bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan berjalan mengikut spesifikasi serta memberi impak terbaik kepada rakyat.
“Naik taraf jalan ini amat penting kerana laluan ini merupakan antara jalan utama yang digunakan setiap hari oleh penduduk setempat. Dengan pelaksanaan projek ini, saya yakin ia akan meningkatkan keselesaan, keselamatan serta kelancaran trafik di kawasan ini,” katanya selepas lawatan tapak projek di sini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atas kelulusan dan kerjasama dalam menjayakan projek berkenaan.
“Saya akan terus komited memperjuangkan keperluan rakyat dan memastikan setiap peruntukan yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada warga DUN Jeram Padang,” tambahnya lagi. – UMNO Online
