Ijtimak Perpaduan Atau Pentas Politik Menjual Naratif Bangsa, Ummah?
PENGANJURAN Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Kuala Terengganu baru-baru ini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
Diangkat sebagai wadah penyatuan umat Islam merentasi sempadan, hakikat yang terserlah di pentas tersebut seolah-olah jauh menyimpang daripada semangat inklusif yang dilaungkan.
Jika benar matlamatnya adalah perpaduan, mengapa yang kelihatan hanyalah kelompok tertentu sahaja?
Kehadiran yang didominasi oleh individu dan penyokong yang cenderung kepada Pas menimbulkan persepsi bahawa program ini lebih merupakan himpunan politik dalaman berbanding medan terbuka untuk semua.

Lebih mengundang tanda tanya apabila tokoh utama seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan hanya dijemput atas kapasiti peribadi, bukan selaku Timbalan Perdana Menteri, jauh sekali sebagai Presiden UMNO.
Dalam politik, simbol dan protokol bukan perkara kecil. Jemputan bersifat eksklusif serta tidak boleh diwakilkan pula memperlihatkan seolah-olah pintu dibuka, tetapi tidak benar-benar dialu-alukan.
Lebih janggal, ketiadaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi kehadiran bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya menguatkan tanggapan bahawa garis politik tertentu sedang dilukis secara halus.
Begitu juga dengan ketidakhadiran wakil daripada PKR dan Amanah, sama ada tidak dijemput atau memilih untuk tidak hadir, hakikatnya tetap sama, wacana perpaduan itu hanya sekadar pentas politik yang menjual naratif perpaduan bangsa dan ummah.
Ironinya, inilah kali pertama naratif “perpaduan Melayu” diangkat secara terbuka oleh pihak yang sebelum ini lantang mengkritik pendekatan serupa sebagai “asabiyyah”.
Apabila dahulu seruan mempertahankan kepentingan bangsa disanggah habis-habisan, kini pendekatan yang hampir serupa dipersembahkan dalam wajah baharu — lengkap dengan simbolisme budaya dan retorik perjuangan.
Persoalannya, apakah ini perubahan prinsip atau sekadar penyesuaian strategi?
Tidak salah untuk mana-mana pihak menganjurkan program, apatah lagi atas nama agama dan perpaduan bangsa Melayu.
Namun keikhlasan itu teruji apabila ruang dibuka seluas-luasnya kepada semua pihak, bukan sekadar mereka yang sehaluan.
Perpaduan yang selektif bukan sahaja gagal menyatukan, malah berpotensi memperdalam jurang sedia ada.
Hakikatnya, perpaduan bukan boleh dipentaskan seperti sebuah acara, lengkap dengan pakaian simbolik dan kehadiran yang telah ditapis.
Ia menuntut kejujuran, keterbukaan dan kesediaan untuk menerima perbezaan, termasuk dengan pihak yang tidak sehaluan.
Jika tidak, “perpaduan” itu akan kekal sebagai slogan kosong, indah didengar, tetapi rapuh dalam realiti.
Oleh: LUKMAN ISMAIL
Pemerhati Politik Kemaman, Terengganu
