Menjelang Aidilfitri: Semai Nilai Adab Eratkan Silaturahim – Nuruldiayana
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, Siti Nuruldiayana Mat Sehat berkata Aidilfitri yang bakal diraikan selepas sebulan menjalani ibadah Ramadan bukan sekadar hari kemenangan, malah menjadi waktu terbaik untuk memperkukuhkan silaturahim, menyemai nilai adab serta mempereratkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Aidilfitri adalah masa untuk kita saling memaafkan, merapatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat. Yang jauh kita eratkan, yang dekat kita abadikan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Tanjung Karang turut menyeru agar masyarakat terus mengamalkan sikap saling membantu serta memperkukuh amalan bersederhana dalam kehidupan seharian.
“Kekalkan nilai murni sepanjang Ramadan dengan saling membantu golongan yang memerlukan serta mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran ketika membuat persiapan Hari Raya.
“Syawal juga wajar menjadi ruang untuk memelihara nilai adab dalam kehidupan bermasyarakat, dengan yang muda menghormati yang tua dan yang tua menyayangi serta membimbing yang muda agar hubungan silaturahim terus subur dari generasi ke generasi,” ujarnya.
Beliau turut menasihati rakyat yang mahu pulang ke kampung agar lebih berhati-hati di jalan raya disebabkan keadaan trafik yang dijangka sesak menjelang perayaan.
“Orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri agar sentiasa berhati-hati di jalan raya, memandu dengan berhemah serta mengutamakan keselamatan agar kegembiraan Syawal dapat diraikan bersama keluarga tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya lagi. – UMNO Online
