Rumah Bangsa: UMNO Pikul Tanggungjawab Besar Pertahan Islam, Melayu Dan Raja-Raja
KUALA LUMPUR, 13 Mac – UMNO memikul tanggungjawab besar dalam membina sejarah di samping mempertahankan kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja sejak merdeka, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa perpaduan Melayu bukanlah soal perkauman sempit bahkan ia untuk menjaga keseimbangan negara.

“Kadang-kadang apabila membaca tulisan politik tertentu, kita tertanya juga … adakah benar tujuannya untuk menyatukan umat atau sekadar mahu memonopoli kebenaran?
“Islam tidak pernah mengajar kita memonopoli agama seolah-olah hanya satu parti memiliki syurga dan pihak yang lain semuanya sesat.
“Dalam negara ini, orang Melayu adalah kaum dominan. Definisi Melayu dalam Perlembagaan juga jelas bahawa Melayu itu beragama Islam. Sebab itu apabila kita bercakap tentang perpaduan Melayu, ia bukan soal perkauman sempit seperti yang sering dituduh, tetapi soal menjaga keseimbangan negara,” katanya.
Mohamad Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, Rumah Bangsa yang diwujudkan oleh UMNO adalah medium untuk mencari titik persamaan demi masa depan anak bangsa.
“Rumah bangsa yang sering diperkatakan itu sebenarnya hanyalah satu medium dan tempat untuk duduk berbincang, mencari titik persamaan demi masa depan anak bangsa serta agama.
“UMNO tidak pernah bercita-cita menjadi ‘abang besar’. Tetapi dalam mana-mana perjuangan, kepimpinan itu datang bersama pengalaman, rekod dan mandat rakyat. Sejak merdeka, UMNO memikul tanggungjawab besar membina negara serta mempertahankan kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja.
“Itu fakta sejarah. Jadi kalau ada yang melihat kepimpinan itu sebagai ‘abang besar’, mungkin mereka tersalah faham makna kepimpinan sebenar. Kalau benar mahu menyatukan umat, jangan dimulakan dengan menuduh orang lain tidak cukup Islam atau memperlekeh perjuangan pihak lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga berpandangan bahawa politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk merendahkan atau menghukum saudara seagama.
“Lebih membimbangkan apabila ada pihak cuba memberi gambaran seolah-olah hanya mereka yang menjaga Islam, manakala orang lain kononnya tidak cukup Islam. Islam bukan milik mana-mana parti politik.
“Tambahan pula, kita berada dalam bulan Ramadan. Bulan yang mengajar kita merendah diri, menjaga lidah dan menjauhi fitnah. Politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk merendahkan atau menghukum sesama saudara seagama.
“Perbezaan pandangan itu perkara biasa. Tetapi jangan sampai perbezaan itu memecahkan umat hanya kerana politik,” katanya lagi. – UMNO Online
