PRN Sabah: Pemuda UMNO/BN Lahad Datu Siap Sedia
LAHAD DATU, 1 Nov– Jentera Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) Lahad Datu kini berada pada tahap kesiapsagaan maksimum dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu, Datuk Seri Anil Sandhu berkata, persediaan rapi telah dilakukan melibatkan pelbagai aspek termasuk logistik, tenaga kerja serta pelaksanaan strategi kempen yang tersusun dan menyeluruh.
“Pemuda UMNO dan BN Lahad Datu sudah siap sedia dengan PRN Sabah ke-17 ini dengan gerak gempur yang tersusun, strategi, termasuk gerak kerja digital, program turun padang dan juga pendekatan mesra pengundi muda.
“Pemuda UMNO/BN bukan sahaja bersedia dari segi logistik dan tenaga kerja malah menunggu pengumuman dari Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dimana parti ini akan bertanding serta seterusnya akan ‘all out’ melakukan gerak gempur.
“Jentera Pemuda sudah bersedia ke medan sebenar. Ini bukan sekadar soal politik, tetapi perjuangan mempertahankan masa depan rakyat dan pembangunan Lahad Datu yang berterusan serta memperkukuh semangat perpaduan serta solidariti bersama parti-parti komponen BN di peringkat akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Dr Anil, Pemuda UMNO/BN memainkan peranan penting bukan hanya dalam aspek kempen politik, tetapi juga dalam mendekati pengundi muda dengan pendekatan baharu yang lebih segar dan inklusif.
“Kita mahu pastikan suara anak muda Lahad Datu didengar. Pemuda bukan sekadar penyokong, tetapi penggerak utama yang membawa mesej kestabilan, perpaduan dan pembangunan untuk masa depan Sabah.
“Setiap langkah yang diatur ini adalah bukti bahawa Pemuda UMNO/BN Lahad Datu komited mempertahankan agenda pembangunan yang telah dibawa kerajaan terdahulu. Kita tidak mahu Sabah kembali kepada politik retorik dan perpecahan,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, katanya, Pemuda UMNO/BN Lahad Datu sentiasa memberi keutamaan kepada kerja lapangan dengan mendekati masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang bagi mendengar sendiri masalah serta keperluan mereka.
“Kita turun padang setiap minggu bertemu belia, peniaga kecil, nelayan, petani dan komuniti luar bandar. Dari situlah kita memahami denyut nadi rakyat dan membawa solusi sebenar,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah. Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
