Kerja Keras Kerajaan Dipolitikkan… Rais Nafi Projek Perniagaan Jadi “Gajah Putih”
Melaka, 31 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, menafikan dakwaan Ahli Parlimen Tangga Batu bahawa kawasan perniagaan di sekitar Stadium Hang Jebat merupakan projek “tidak berfungsi” dan disifatkan sebagai “gajah putih”.
Menurut Rais, kenyataan itu adalah tidak tepat dan bersifat tidak berasas kerana fakta sebenar menunjukkan kawasan tersebut sudah mula beroperasi dan memberi peluang kepada para peniaga tempatan.
“Sebanyak 30 kiosk telah pun beroperasi dan para peniaga telah memulakan perniagaan mereka. Memang benar jumlah pelanggan masih belum ramai, namun ini adalah fasa awal pengenalan tapak, dan perkara seperti ini adalah lumrah bagi mana-mana kawasan perniagaan baharu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Rais menjelaskan bahawa Japerun Paya Rumput telah memberikan sokongan penuh kepada para peniaga dengan menawarkan peluang berniaga secara percuma buat masa ini.
“Malah kita juga sedang membantu mereka mendapatkan pinjaman tanpa faedah daripada Bank Rakyat supaya memudahkan urusan mencari rezeki.”
Beliau menegaskan bahawa dakwaan negatif dan kenyataan berbaur politik terhadap usaha kerajaan negeri hanya akan menjejaskan semangat para peniaga yang sedang berusaha membina perniagaan mereka.
“Sebagai ADUN Paya Rumput, saya tidak boleh berdiam diri apabila usaha rakyat dan kerja keras pihak kerajaan dipolitikkan. Pihak kami sedang merancang pelbagai inisiatif dan penambahbaikan infrastruktur untuk menjadikan kawasan ini lebih meriah serta menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.
Rais turut menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu sebagai tidak menguntungkan rakyat Paya Rumput.
“Sepatutnya, YB MP Tangga Batu menggunakan platform Parlimen Malaysia untuk membantu peniaga dengan memohon kepada kementerian atau agensi berkaitan bagi mendapatkan dana dan geran perniagaan. Bukan melemparkan kenyataan yang boleh melemahkan semangat peniaga tempatan,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi memastikan kejayaan projek ini.
“Akhirnya, saya menyeru agar semua pihak bersama-sama membantu mencari jalan untuk menarik pelanggan dan memajukan peniaga tempatan. Kita sebagai ‘Yang Berkhidmat’ mesti bekerja untuk rakyat, bukannya terus berpolitik atas isu yang sengaja diada-adakan,” tegas beliau lagi. – UMNO Online
