ASEAN 2005: Malaysia Cemerlang Penganjuran, Namun Perjanjian Perlu Diperinci – Syauqi

KUALA LUMPUR, 31 Okt  – Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai tuan rumah acara bertaraf dunia apabila penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di ibu negara berlangsung dengan jayanya, dihadiri semua pemimpin ASEAN serta beberapa pemimpin negara kuasa besar dunia.

Antara yang hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat, Brazil, dan Afrika Selatan, serta Perdana Menteri Kanada, Jepun dan China, menjadikan Kuala Lumpur tumpuan diplomatik dunia sepanjang sidang kemuncak berkenaan.

Menurut EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad, kejayaan penganjuran tersebut menunjukkan kemampuan pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri serta peranan penting Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya memastikan kelancaran diplomatik dan logistik sepanjang acara berlangsung.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memastikan tahap keselamatan negara berada pada paras tertinggi tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.

Namun begitu, katanya, di sebalik kemeriahan penganjuran tersebut, beberapa perkara perlu diperjelaskan kerajaan berhubung kandungan dan implikasi perjanjian-perjanjian yang dimeterai semasa sidang berkenaan.

 

“Antaranya termasuk perjanjian dagang dengan Amerika Syarikat (AS) yang mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus tetapi dengan senarai pengecualian produk eksport tertentu yang perlu dijelaskan dengan lebih terperinci,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Beliau turut menyentuh mengenai Perjanjian Kerjasama Dagang Digital (Digital Trade Pact) antara Malaysia dan AS yang menetapkan Malaysia perlu berunding dengan AS sebelum menandatangani kerjasama serupa dengan mana-mana negara lain.

“Walaupun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan ia sekadar ‘konsultasi’, kerajaan perlu menjelaskan dengan jelas maksud sebenar konsultasi tersebut supaya tidak menimbulkan salah tafsir,” katanya.

Mohd Syauqi turut menzahirkan kebimbangan berhubung klausa yang mewajibkan Malaysia membeli lima juta metrik tan gas asli cecair (LNG)daripada AS walaupun Malaysia merupakan antara pengeksport LNG terbesar dunia melalui Petronas.

Selain itu, beliau turut menyorot perhatian terhadap perjanjian nadir bumi (rare earth) yang membenarkan eksport bahan yang telah diproses ke AS tanpa had, sedangkan had bagi eksport nadir bumi mentah masih dikekalkan.

“Kerajaan perlu memperincikan mekanisme percukaian dan kawalan eksport agar sumber bumi negara tidak dieksploitasi oleh pelabur asing semata-mata,” katanya.

Mohd Syauqi seterusnya berkata, secara keseluruhannya Malaysia telah menerajui ASEAN dengan baik sepanjang 2025, namun rakyat berhak mengetahui dengan lebih mendalam setiap implikasi perjanjian yang ditandatangani bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.

“ASEAN Summit 2025 berjaya dari sudut penganjuran dan diplomasi, namun kerajaan perlu telus dalam menjelaskan butiran setiap perjanjian,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO