PTPTN Hulur Sumbangan Ringankan Beban Keluarga Lima Beranak di Papar

PAPAR, 30 Okt – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, meneruskan program Ziarah Kasih dengan menziarahi sebuah keluarga lima beranak di Papar yang dijaga oleh seorang kakak tunggal yang tabah menjaga empat adiknya, kesemuanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam kunjungan tersebut, PTPTN menyampaikan sumbangan Akaun Simpan SSPN untuk anak kepada wanita berkenaan selain kotak makanan bagi membantu meringankan beban keluarga itu.

Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, kisah pengorbanan dan kasih sayang kakak tersebut yang menjaga adik-adiknya dengan penuh tanggungjawab amat menyentuh hati.

“Saya faham bukan mudah menjadi satu-satunya kakak yang memikul tanggungjawab besar untuk menjaga keluarga dalam keadaan serba kekurangan. Oleh sebab itu, PTPTN terpanggil untuk turut membantu.

“Moga sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi suntikan semangat untuk terus tabah mengharungi hari-hari mendatang,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga tersebut terus diberi kekuatan, kesihatan dan rezeki yang berpanjangan dalam menghadapi cabaran hidup seharian.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Rashid Sherlin serta pasukan PTPTN yang bersama-sama menyantuni keluarga berkenaan.

Program Ziarah Kasih PTPTN merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan membantu golongan memerlukan serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat di seluruh negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO