Pandak Terus Prihatin, Sampaikan Bantuan Ringankan Beban

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berbesar hati dapat menyantuni para penerima bantuan sempena Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor 2025 yang berlangsung di Dewan Raya MBIP, Gelang Patah.

Majlis tersebut melibatkan penyampaian bantuan kepada dua kumpulan sasar utama iaitu Pesara Polis serta golongan ibu tunggal di bawah inisiatif I-Pesona, khusus untuk masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar.

Pandak dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor terutamanya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas keprihatinan dan usaha berterusan dalam memperkenalkan insentif yang mampu membantu meringankan beban golongan memerlukan.

“Alhamdulillah, majlis hari ini berjalan dengan lancar dan penuh rasa syukur,” katanya menerusi satu hantaran di facebook.

Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza Pandak turut sama meluangkan masa menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Yayasan Pelajaran MARA kepada para pelajar dari keluarga B40 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Kompleks Sultan Abu Bakar.

Seramai 34 orang pelajar dari lima sekolah menengah sekitar kawasan tersebut menerima sumbangan khas yang bertujuan meringankan beban keluarga serta memberi suntikan semangat kepada calon-calon SPM.

Antara sekolah terlibat termasuk SMK Gelang Patah, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar, SMK Tanjung Adang, SMK Nusajaya dan Sekolah Tun Fatimah.

Datuk Pandak menyatakan penghargaan kepada Yayasan Pelajaran MARA atas inisiatif murni ini yang bukan sahaja bersifat bantuan kewangan, tetapi turut membawa nilai motivasi dan sokongan moral kepada para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting dalam kehidupan mereka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO