Kerajaan Melaka Terima 25 Kenderaan Elektrik Honda EN:1, Sokong Promosi Mobiliti Hijau

AYER KEROH, 30 Okt – Kerajaan Negeri Melaka hari ini menerima sumbangan sebanyak 25 unit kenderaan elektrik (EV) Honda EN:1 daripada Honda Malaysia dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Lobi Bendahari, Kompleks Seri Negeri.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersama wakil pengurusan Honda Malaysia, Atsushi Kino, serta turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad, dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurut Ab Rauf, penyerahan kenderaan ini melambangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Melaka dan Honda Malaysia dalam memperkukuh agenda negeri ke arah mobiliti hijau dan pembangunan mampan.

“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja memperkenalkan gaya pemanduan yang lebih lestari, tetapi juga membantu mempromosikan Melaka sebagai negeri perintis dalam penggunaan kenderaan cekap tenaga di Malaysia,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Penyerahan ini juga bersempena dengan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, serta Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Melaka 2.0.

Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan kepada Honda Malaysia atas sokongan terhadap usaha kerajaan negeri memperluas penggunaan kenderaan bebas karbon.

“Pentadbiran saya komited untuk menilai keberkesanan penggunaan EV ini dari aspek penjimatan kos, kecekapan tenaga dan pengalaman pemanduan agar manfaatnya dapat diperluas kepada komuniti,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO