UMNO Negeri Sembilan Ikrar Terus Perkukuh Wadah Perjuangan
KUALA LUMPUR, 29 Okt – UMNO Negeri Sembilan terus memperkukuh gerak kerja bersepadu demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
Menerusi kenyataan di Facebook Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, beliau berkongsi perjalanan mesyuarat yang diadakan dalam suasana muafakat dan semangat kekeluargaan tinggi.
“Kita meneliti perjalanan parti, memperkukuh jentera di semua peringkat, dan memperhalusi strategi bagi memastikan UMNO Negeri Sembilan terus menjadi wadah perjuangan yang kukuh dan disegani,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan, kekuatan sebenar UMNO bukan sekadar slogan semata-mata namun terletak pada keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat,
“Saya menaruh keyakinan bahawa kekuatan sebenar kita terletak pada keikhlasan berkhidmat untuk rakyat bukan pada pangkat bukan pada slogan tetapi pada tindakan yang memberi makna kepada kehidupan masyarakat.
“UMNO Negeri Sembilan akan teruskan perjuangan UMNO dengan semangat setiakawan, menjulang agenda rakyat dan memastikan Negeri Sembilan kekal stabil, makmur dan dihormati,” ujar beliau. – UMNO Online
