Mohd Azmawi Turun Padang, Dekati Rakyat Nenggiri
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani giat turun padang untuk mendekati masyarakat dan mendengar keluhan rakyat di kawasan tersebut.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara untuk Program Solat Hajat bersempena Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung.

“Pada pagi Isnin, saya telah bersama ibu bapa, guru-guru dan para pelajar untuk Program Solat Hajat Perdana sempena peperiksaan SPM di SMK Tengku Bendahara.
“Program ini amat bermakna dalam membentuk kekuatan rohani dan semangat juang kepada calon-calon SPM.
“Moga doa yang dipanjatkan diterima oleh Allah SWT dan semua calon dikurniakan kejayaan cemerlang, seterusnya mampu membanggakan ibu bapa, guru dan sekolah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan turut meluangkan masa bersama masyarakat di FELDA Perasu untuk mendengar segala permasalahan dan isu-isu terkini terutamanya mengenai masalah gangguan bekalan elektrik.

“Petang Isnin, saya singgah untuk makan roti canai di Kedai Che Ngoh, FELDA Perasu bersama masyarakat terutamanya ayah-ayah di kawasan ini.
“Saya berkesempatan untuk bertanya khabar, mendengar cerita dan isu-isu semasa di FELDA Perasu terutamanya mengenai masalah gangguan bekalan elektrik,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut hadir ke Kejohanan Muay Thai Peringkat Jajahan Gua Musang pada sebelah malam dan mengucapkan tahniah kepada para penganjur yang telah menjayakan program tersebut.
“Di sebelah malam, saya turut sama menyaksikan Kejohanan Muay Thai Peringkat Jajahan Gua Musang yang dianjurkan oleh Kelab Pejabat Tanah Gua Musang dengan kerjasama Kelan Muay Thai Kuda Merah.

“Pertandingan berlangsung dengan penuh semangat di Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang.
“Tahniah kepada penganjur dan semua yang menjayakan kejohanan ini. Semoga sukan Muay Thai terus berkembang dan menjadi kebanggaan anak muda Gua Musang,” katanya lagi. – UMNO Online
