Libat Urus Berterusan, Isu Rakyat Tidak Diabaikan – Rais
Melaka, 28 Okt – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) terus memberi impak positif dalam usaha mengenal pasti isu setempat serta merangka penyelesaian terbaik demi kepentingan penduduk, khususnya melibatkan hal ehwal perumahan, kerajaan tempatan dan saliran di negeri ini.
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin, berkata WRUR bukan sekadar platform libat urus, malah berperanan penting sebagai medium penyelesaian segera terhadap permasalahan rakyat di peringkat komuniti.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan aduan masalah hakisan tebing Sungai Melaka di Kampung Beringin, yang merupakan salah satu siri lawatan di bawah WRUR bagi kawasan DUN Durian Tunggal baru-baru ini.
Tinjauan tersebut turut disertai Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka bagi menilai keadaan serta membincangkan kaedah penyelesaian yang sesuai.
“Lawatan sebegini membolehkan kita melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan dan seterusnya memastikan tindakan intervensi dapat dibuat dengan tepat, cepat serta berkesan,” katanya kepada UMNO-Online
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnha menambah program WRUR pada hari berkenaan diteruskan dengan Sesi Town Hall Exco yang berlangsung di Balairaya Kampung Beringin, melibatkan pemimpin masyarakat setempat serta Ketua-ketua Jabatan di bawah portfolio beliau.
Sesi tersebut memberi ruang kepada penduduk mengemukakan pandangan, pertanyaan serta isu-isu yang dihadapi, sekaligus membolehkan tindakan penyelesaian dirangka secara bersama.
“Pendekatan libat urus sebegini akan terus kita perkukuhkan kerana ia membuktikan bahawa suara dan keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” kata Rais. – UMNO Online
