Kehadiran Pemimpin Dunia Cerminkan Hubungan Erat, Semangat Diplomasi Kepengerusian ASEAN-Malaysia

PUTRAJAYA, 27 Okt 2025 – Kehadiran ramai pemimpin dunia ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini mencerminkan hubungan erat negara dengan rakan serantau dan global dalam memperkukuh kerjasama dua hala serta semangat diplomasi MADANI.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penyertaan aktif para pemimpin dunia ini menunjukkan keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, sekaligus memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju diplomasi berprinsip di rantau ini.

“Kehadiran ramai pemimpin dunia ini mencerminkan hubungan erat Malaysia dengan negara-negara rakan serantau dan global dalam memperkukuh kerjasama dua hala dan semangat diplomasi MADANI, terutama dalam konteks Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” kata Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau menegaskan, semangat Diplomasi MADANI yang diterapkan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berteraskan nilai keterangkuman, saling menghormati dan kemakmuran bersama, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memainkan peranan lebih aktif dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Pada Sabtu beliau bersama dalam istiadat sambutan negara bagi Presiden Brazil, TYT Luiz Inácio Lula da Silva dan isteri, PYT Rosângela Lula da Silva, di Dataran Perdana Putra disusuli ketibaan rasmi Presiden Filipina, TYT Ferdinand R. Marcos Jr. dan isteri, PYT Louise Araneta-Marcos.

Turut hadir pada istiadat sambutan negara ialah Perdana Menteri, dan juga Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, barisan Jemaah Menteri, para diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Sidang kemuncak kali ini bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri, China Li Qiang; Presiden Brazil, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi kali kelima untuk tahun ini sejak penubuhan perkumpulan itu pada 1967, selepas menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berakhir pada 28 Oktober dengan majlis penutup dan penyerahan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan kemuncak tahun bersejarah bagi Malaysia dalam memperkukuh kerjasama, perpaduan dan kemampanan blok Asia Tenggara itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO