ASEAN 2025: Malaysia Main Peranan Fasilitator Perdamaian – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Malaysia berbangga memainkan peranan sebagai fasilitator perdamaian selaras dengan semangat ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau telah turut serta dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, TYT Donald Trump pada Ahad.

“Turut serta dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, TYT Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

“Pertemuan ini diadakan sejurus selepas majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, yang turut disaksikan kedua-dua pemimpin.

“Malaysia dan Amerika Syarikat turut menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik yang luas, bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Pertemuan ini juga membuka ruang memperkukuh kepercayaan bersama dan memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah menyaksikan Majlis Menandatangani ‘Delivering Peace – Cambodia-Thailand Peace Deal’ antara Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, TYT Anutin Charnvirakul.

“Menyaksikan Majlis Menandatangani ‘Delivering Peace – Cambodia-Thailand Peace Deal’ antara Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, TYT Anutin Charnvirakul, yang menandakan langkah bersejarah memulihkan keamanan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Dimeterai oleh kedua-dua pemimpin serta disaksikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan TYT Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Perjanjian ini memperkukuh gencatan senjata serta menubuhkan ASEAN Observer Team (AOT) bagi menjamin kestabilan serantau.

“Malaysia berbangga memainkan peranan sebagai fasilitator perdamaian, selaras dengan semangat ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO