UMNO Sentiasa Terbuka Raikan Pandangan, Demi Kepentingan Ummah – SUA

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan keterbukaan beliau dalam meraikan pandangan pelbagai pihak, termasuk daripada mereka yang berbeza fahaman politik, demi kepentingan penyatuan ummah.

Beliau berkata, sebagai parti yang berteraskan perjuangan rakyat, UMNO sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin datang bertemu, berbincang dan berkongsi pandangan.

“Sebagai Setiausaha Agung Parti saya kena meraikan sesiapa sahaja yang mahu berkunjung ke Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia, tanpa mengira fahaman dan dukungan politik mereka.

“UMNO ini bagaikan pohon yang rendang, menerima sesiapa sahaja yang mahu tumpang berteduh. Kalaupun ada sebiji dua yang berbuah, kami pasti kongsinya bersama tetamu walaupun kadangkala pohon ini diherdik dan dilontarkan batu,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian ketika berkongsi pertemuannya bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam yang berlangsung dalam suasana harmoni dan semangat ukhuwah, baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun terdapat perbezaan pendekatan, namun semua pihak yang hadir berkongsi matlamat yang sama untuk terus memperjuangkan agenda Islam dan Melayu dalam sebuah negara majmuk.

“Semuanya punya matlamat yang sama untuk terus memartabatkan agenda Islam dan Melayu dalam kerangka negara yang berbilang kaum dan agama. Yang membezakan hanyalah pendekatan dan cara. Yang penting saling menghormari, bertoleransi dan berlapang dada.

“Semua sepakat untuk mengorak langkah ke arah kerjasama yang lebih utuh dan berusaha ke arah penyatuan ummah yang luhur. Moga Allah rahmati dan permudahkan segala usaha permuafakatan atas landasan iman dan taqwa demi manfaat kepada ummah keseluruhannya,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO