JPKK Penghubung Kerajaan Dan Rakyat, Demi Kesejahteraan Masyarakat Desa

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berperanan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat di peringkat kampung dalam usaha merancang serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan untuk kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan itu, JPKK juga berfungsi sebagai perantara penting kerajaan negeri dalam menyalurkan setiap aduan serta permasalahan rakyat, di samping memainkan peranan utama dalam memelihara keselamatan, keharmonian sosial dan kebudayaan di setiap daerah.

“Sebagai Exco yang bertanggungjawab memastikan keberkesanan peranan JPKK sebagai penghubung kepada masyarakat setempat, saya akan memastikan kebajikan semua ahli JPKK sentiasa terpelihara, serta mereka terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

“Peranan JPKK amat penting dalam menentukan hala tuju pembangunan daerah agar segala perancangan dapat dilaksanakan dan mencapai matlamat yang dihasratkan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu dalam satu catatan di Facebook.

Mohd Zolkafly mengucapkan syukur kerana pada petang semalam beliau dapat merasmikan Program Pemantapan JPKK Daerah Kuala Kangsar Tahun 2025 yang diadakan di Pusat Latihan Industri Kemahiran Pekebun Kecil (IPKP), Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.

“Melalui program ini, saya berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kualiti kepimpinan serta integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput itu lagi.

Hadir sama Pegawai Khas Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau Dr. Taslimah Jalaluddin; Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak DUN Chenderoh Datuk Mohd Ariff Abd Majid; Penghulu Tertinggi Daerah Kuala Kangsar Sariee Bakar; serta Penghulu-penghulu Mukim Daerah Kuala Kangsar dan Sungai Siput, bersama-sama JPKK Daerah Kuala Kangsar dan Sungai Siput. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO