Terima Kasih TPM, Prihatin Bantu Golongan B40 Di Sabah – Maizatul Akmam

LAHAD DATU, 23 Okt – Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu merangkap Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi merakamkan setinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keprihatinan beliau membantu golongan B40 di luar bandar, khususnya di Sabah.

Menurut Maizatul, keprihatinan berterusan Timbalan Perdana Menteri terserlah melalui pelbagai inisiatif KKDW termasuk Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI) yang banyak memberi manfaat kepada rakyat.

“Semalam saya bersama Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu, Ketua Wanita, Ketua Puteri, AJK Bahagian di sini dan agensi pelaksana GiatMARA telah menyerahkan empat buah rumah PPRS iaitu dua di DUN Silam melibatkan Kg Sepagaya dan Kg Teluk Soaiun serta dua lagi di DUN Segama iaitu Kg Bukit Belacon).

“Dalam masa yang sama, kami turut meninjau pelaksanaan program SERI oleh pelatih-pelatih GiatMARA di rumah-rumah terpilih,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau memaklumkan, bagi tahun 2025 sahaja, Parlimen Lahad Datu telah menerima kelulusan sebanyak 40 buah rumah bina baru dan 168 rumah baik pulih di bawah program PPRS, sekali gus membuktikan komitmen UMNO yang menjadi jambatan kepada kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat luar bandar.

“Bukan sahaja PPRS yang memberi manfaat, malah program SERI turut membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO