Mustapha Nagoor Seru Sertai Sirkit 5 Bukit Jempol 2025 Menjelang TMNS2026
JEMPOL, 22 Okt — EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor, mengajak orang ramai menyertai Program Sirkit 5 Bukit Daerah Jempol 2025 yang bakal berlangsung pada 9, 22 dan 23 November ini di kawasan Serting dan Bahau.
Ujarnya, dengan tema “Takluk 5 Bukit, Cipta 1 Kenangan Luar Biasa!”, program anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Jempol itu merupakan antara inisiatif utama dalam usaha memperkukuh persediaan menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026).

Beliau berkata, program ini bukan sahaja menonjolkan semangat kecergasan dan gaya hidup sihat melalui aktiviti mendaki bukit, malah turut berperanan besar dalam memperkasa sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan negeri.
“Sirkit 5 Bukit ini menjadi platform terbaik untuk mempromosikan keindahan produk pelancongan semula jadi yang ada di Jempol. Lima lokasi utama iaitu Bukit Bosa Bayai, Bukit Beruang, Bukit Penarikan, Bukit Bunga dan Bukit Taisho merupakan aset pelancongan yang mampu menarik minat pelancong dalam dan luar negeri,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat agar sama-sama menjayakan siri jelajah ini.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan semua lapisan masyarakat untuk turut serta. Inilah peluang kita memperkenalkan keindahan Jempol sambil mengeratkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap alam,” ujarnya lagi.
Program tersebut dijangka menarik penyertaan ratusan peserta dari seluruh Negeri Sembilan dan menjadi acara tahunan yang bakal mencorakkan landskap pelancongan daerah Jempol sebagai destinasi pelancongan aktif dan menarik menjelang TMNS2026. – UMNO Online
