Kerajaan MADANI Terus Beri Keutamaan kepada Agenda Pembangunan Sabah – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 22 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi keutamaan kepada agenda pembangunan Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Ucapan Penerangan Pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah yang disampaikan oleh Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, ucapan Perdana Menteri itu menjelaskan dengan tuntas mengenai komitmen kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab perlembagaan terhadap Sabah serta memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan undang-undang, prinsip keadilan dan semangat perpaduan.
“Sejak awal pentadbiran, Kerajaan MADANI telah menunjukkan iltizam yang jelas dalam memperkukuh hubungan Persekutuan-Negeri, termasuk peningkatan peruntukan pembangunan dan pelaksanaan pelbagai projek strategik demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tambah beliau, kesepakatan berteraskan kepercayaan dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menjadi asas kepada kemajuan serta perpaduan Sabah dan Malaysia secara keseluruhan.
“Insya-Allah, komitmen ini akan terus diperkukuh demi memastikan pembangunan Sabah berjalan seiring dengan kemajuan negara,” ujar beliau lagi. – UMNO Online
