Dr Asyraf Seru Masyarakat Cakna Isu Pelajar Tercicir Pelajaran Akibat Kemiskinan

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap masyarakat agar lebih cakna terhadap isu pelajar cemerlang yang terpaksa menghentikan pengajian akibat kekangan kewangan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu mana-mana pelajar yang memerlukan, terutamanya mereka yang berpotensi dan mempunyai pencapaian akademik membanggakan.

“Saya mohon kepada masyarakat agar ambil cakna dan maklumkan kepada saya dan MARA jika ada kes-kes pelajar cemerlang seperti ini yang mengambil keputusan sendiri untuk berhenti belajar hanya kerana masalah kemiskinan.

“Saya selalu tekankan hanya ilmu boleh merubah kehidupan. Insya-Allah ilmu juga boleh mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf dalam pada itu turut berkongsi kisah Muhammad Ashraf Saipul Nizam yang tular baru-baru ini selepas berhenti belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan menjual roti sandwich di hadapan MRT Bukit Bintang demi menyara keluarga.

Beliau memaklumkan bahawa isu berkenaan kini selesai apabila Ashraf telah menerima tawaran untuk menyambung semula pengajian di UniKL Business School bermula minggu hadapan.

Katanya lagi, Ashraf sebelum ini terpaksa meninggalkan pengajian kerana ingin menjaga ibu dan bapanya yang sakit serta terlantar di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cheras.

“Alhamdulillah Jumaat lepas saya sendiri bertemu dengan beliau untuk memujuknya kembali meneruskan pengajian.

“Insya-Allah MARA telah bersetuju menyambung pembiayaan pengajian beliau beserta wang saku bulanan RM800. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah bersetuju untuk membantu keluarga ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO