Penubuhan Pakatan Ketenteraan Perlu Diperhalusi – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata cadangan untuk menubuhkan pakatan ketenteraan dalam kalangan negara-negara Islam perlu diperhalusi dengan teliti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis menjelaskan Malaysia lebih cenderung untuk berpandangan bahawa, sebarang bentuk kerjasama sedemikian hendaklah bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata.
“Pendekatan holistik turut merangkumi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti adalah penting bagi memastikan objektif keamanan dan kesejahteraan dapat dicapai.
“Malaysia juga terus aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui koordinasi Kementerian Luar Negeri, agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan turut memainkan peranan penting dalam memudah cara, pengagihan bantuan serta memberi gambaran situasi sebenar di lapangan.
“Sekiranya wujud kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara Islam, termasuk dari sudut penyelarasan bantuan kemanusiaan, ia berpotensi memperkukuh solidariti umat Islam dan seterusnya meningkatkan keberkesanan usaha membantu rakyat Palestin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian rasmi Malaysia terhadap kenyataan Perdana Menteri Iraq yang menggesa penubuhan satu pakatan ketenteraan negara-negara Islam bagi menghadapi dasar penindasan Israel.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan Malaysia turut konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan penyelesaian dua negara berasaskan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
“Malaysia merupakan antara negara yang aktif menyokong misi pengaman antarabangsa di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai contoh, sejak tahun 2007, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Batalion Malaysia (MALBATT) telah menyertai Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).
“Penyertaan sebegini melambangkan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB, serta menegaskan pendirian negara dalam menyokong keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa,” katanya lagi.
Ujarnya, Malaysia bersedia mengambil bahagian dalam sebarang bentuk operasi pengaman di Palestin, sekiranya, diwujudkan di bawah panji PBB. – UMNO Online
