246 Aduan ‘Union Busting’ Direkod, Kerajaan Tegas Pertahan Hak Pekerja
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) sentiasa komited memastikan hak serta kebebasan pekerja untuk menubuh dan menyertai kesatuan sekerja terus dilindungi sepenuhnya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata pelbagai langkah proaktif dilaksanakan termasuk program pendidikan perusahaan, pemantauan berterusan terhadap tindakan majikan serta penambahbaikan dasar bagi memperkukuh ekosistem hubungan perusahaan yang harmoni dan berkeadilan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Seksyen 8(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mengambil langkah perlu atau membuat inkuiri wajar bagi menyelesaikan aduan berhubung amalan ‘union busting’ mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod JPPM, sebanyak 246 aduan berhubung isu ‘union busting’ diterima antara tahun 2015 hingga 31 Ogos 2025.
Daripada jumlah itu, 158 aduan telah diselesaikan secara rundingan damai di peringkat jabatan, manakala 24 aduan masih dalam tindakan dan 64 aduan telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan untuk pendengaran kes.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah aduan berhubung amalan ‘union busting’ telah diterima oleh JPPM pada tahun 2015-2025, serta berapa tindakan yang telah diambil, selain bentuk tindakan.
Ahli Parlimen Bakri turut bertanyakan apakah hasil siasatan JPPM terhadap aduan ‘union busting’ melibatkan syarikat Flextronics Penang dan XSD International Paper.
Abdul Rahman turut memaklumkan bahawa bagi kes yang melibatkan syarikat Flextronics Penang dan XSD International Paper, JPPM kini sedang melaksanakan rundingan damai dan inkuiri sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 177. – UMNO Online
