KKR Perkasakan Kontraktor Tempatan G1-G4 Melalui Dasar Pembinaan Negara 2030 – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) sentiasa memastikan ekosistem industri pembinaan negara terus berkembang secara inklusif dengan memberikan tumpuan kepada penglibatan kontraktor tempatan termasuk kontraktor kecil Gred G1 hingga G4.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bagi memastikan hasrat ini tercapai, penglibatan kontraktor tempatan dalam kontrak pembinaan dan penyelenggaraan dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Perbendaharaan PK 2.21 kaedah pelaksanaan perolehan atau projek kerajaan tahun 2025 yang terpakai termasuk untuk kontraktor tempatan dari Langkawi.
“KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan program mempercepatkan penyenggaraan jalan dengan memanfaatkan kontraktor G1-G4. Program ini bertujuan untuk melantik kontraktor secara cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan di seluruh negara melalui syarikat konsesi. Ini termasuklah, pelaksanaan cabutan undi bagi kontraktor kecil G1 hingga G4 di Langkawi.
“Bagi tahun 2025 pula, Kementerian menerima peruntukan sebanyak RM450 juta yang dikhaskan untuk memperkasa kontraktor kecil Bumiputera kelas G1-G4 bagi kerja penyenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia. Sebanyak 664 kontraktor kelas G1-G4 telah terpilih melalui kaedah perolehan secara undian dan kerja-kerja tersebut akan siap sepenuhnya pada 30 Oktober 2025.
“Bagi memastikan usaha memperkasa kontraktor tempatan, KKR melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sentiasa melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti dan keusahawanan kontraktor tempatan. Antara program utama yang diperkenalkan oleh CIDB adalah program Accelerator for Construction Entrepreneurs (ACE) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kontraktor belia Bumiputera gred G1 hingga G4 dengan melatih lebih 300 kontraktor sejak tahun 2022,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab persoalan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah dasar Kementerian dalam memastikan penglibatan kontraktor tempatan khususnya dari Langkawi, dalam projek-projek pembinaan dan penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh Kementerian termasuk usaha memperkasa kontraktor G1-G3.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan program ‘Skilltechpreneur’ melahirkan kontraktor G1 dengan memberi latihan kemahiran teknikal dan bimbingan penubuhan syarikat kepada lepasan Akademik Binaan Malaysia (ABM) dan graduan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di mana lebih 130 kontraktor telah berjaya dihasilkan.
“Program SFERA (Construction Innovation Hub) yang diperkenalkan pada tahun 2025 menggalakkan inovasi di tapak bina dengan memberi peluang kepada kontraktor kecil mencadangkan idea berkaitan teknologi dan kaedah kerja baharu.
“Program Cekap+ (Cekap Plus) yang dimulakan pada tahun 2025, bertujuan membantu kontraktor kecil mengatasi masalah pengurusan kontrak dan tuntutan bayaran projek kerajaan melalui bimbingan praktikal yang dilaksanakan di seluruh negeri,” ujarnya. – UMNO Online
