KDN Pandang Serius Jenayah Penipuan Dalam Talian – Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius jenayah penipuan dalam talian yang berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk sindiket yang mempunyai jaringan operasi global, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, pelbagai inisiatif dan usaha telah digembleng oleh kerajaan dan agensi penguat kuasa, namun masih terdapat cabaran yang menjejaskan keberkesanan tindakan terhadap sindiket jenayah penipuan kewangan ini.
“Salah satu isu paling kritikal ialah ketidaksepadanan antara undang-undang sedia ada dengan realiti semasa jenayah siber. Banyak peruntukan undang-undang dianggap tidak cukup tegas atau sudah lapuk, terutama apabila berdepan dengan taktik penipuan yang semakin canggih.
“Lebih membimbangkan, tiada satu akta menyeluruh yang khusus menangani jenayah siber rentas sempadan, menyebabkan banyak kes gagal untuk dibicarakan atau ditangani secara tuntas. Di samping itu, hukuman yang dijatuhkan kadangkala terlalu ringan, tidak memberi impak pencegahan yang efektif kepada pelaku mahupun sindiket lain.
“Keterbatasan dari segi kepakaran teknikal dan sumber manusia dalam kalangan pasukan forensik digital dan penguat kuasa siber turut menjadi penghalang besar. Ramai anggota penguat kuasa masih belum cukup mahir dalam menangani teknologi baharu yang digunakan oleh scammer seperti VPN, spoofing, cryptocurrency, dan platform komunikasi yang dienkripsi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah faktor kelemahan penguatkuasaan sehingga Malaysia kini dilihat menjadi destinasi pilihan sindiket scammer antarabangsa termasuk kes terbaru melibatkan lebih 400 orang yang ditahan di Bangsar South.
Mengulas lanjut, Shamsul yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata bagi mengekang jenayah yang semakin berleluasa ini, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menanganinya.
“Kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi menangani kes jenayah siber khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai yang membabitkan peruntukan tambahan iaitu Seksyen 424A, 424B, 424C, dan 424D berkenaan kesalahan memiliki, mengawal dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrumen pembayaran.
“Pindaan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) membabitkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk menyita dan membekukan akaun bagi menyekat urusan transaksi kewangan. Selain itu, Kerajaan juga sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah siber sebagai sebahagian usaha membanteras jenayah siber di negara ini,” katanya lagi.
Tambah Shamsul lagi, mulai 26 Jun 2025, Pusat Respon Penipuan Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) telah diletakkan di bawah kawal selia KDN dan diterajui oleh PDRM.
“NSRC diperkukuhkan fungsinya sebagai One Stop Centre yang beroperasi 24 jam sejak Julai 2025 dan memberikan perkhidmatan end-to-end bagi menangani jenayah penipuan dalam talian. NSRC juga akan diperkasakan dengan penambahan perjawatan yang sedang diperhalusi oleh JPA dan One Stop Centre baharu yang akan beroperasi di Menara dua (2), MCMC, Cyberjaya.
“Peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian, NSRC telah menjadi barisan hadapan dalam memberikan tindak balas pantas untuk menyelamatkan duit mangsa. NSRC ditubuhkan dengan kerjasama bersepadu pelbagai agensi menggabungkan kepakaran PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi,” jelasnya.
Katanya lagi, tindakan tegas dan pantas NSRC membolehkan pembekuan akaun keldai dan wang mangsa dapat diselamatkan dalam tempoh masa kritikal sejurus laporan dibuat.
“Walaupun begitu, Kerajaan akui sukar untuk mendapatkan semua wang kembali kerana sindiket begitu pantas memindahkan dana ke luar negara. Namun, keberkesanan NSRC setakat ini telah berjaya menyelamatkan sebahagian besar wang rakyat yang dilaporkan dengan segera,” ujarnya. – UMNO Online
