Audit Negara Berperanan Kawal Selia Perbelanjaan – Azalina
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Institusi Ketua Audit Negara merupakan agensi penyeliaan yang berperanan untuk mengesahkan semua aktiviti dan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen dilaksanakan oleh cabang badan eksekutif dengan penuh akauntabiliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menjelaskan Ketua Audit Negara hendaklah menentukan sama ada wang yang digunakan untuk peruntukkan atau dibenarkan.
“Ketua Audit Negara hendaklah menentukan sama ada wang telah digunakan untuk maksud yang diperuntukkan atau dibenarkan dan aktiviti yang berhubungan dengannya, dijalankan atau diuruskan dengan cara yang cekap, dengan memberi perhatian sewajarnya terhadap pengelakan pembaziran atau keborosan seperti termaktub dalam Akta Audit 1957 (Akta 62).
“Ketua Audit Negara dalam menjalankan mandat dan tanggungjawabnya, memerlukan perhatian yang serius daripada pihak berkaitan supaya isu yang dibangkitkan diberi perhatian sewajarnya manakala syor-syor utama yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dilaksanakan dengan berkesan.
“Audit bukan sekadar semakan kewangan ia adalah mekanisme utama memastikan tiada ketirisan dalam pengurusan wang rakyat. Untuk memastikan mekanisme ini berfungsi dengan berkesan, institusi audit perlu diperkasa,” katanya ketika membahas usul di bawah peraturan mesyuarat 27 (3) laporan Ketua Audit Negara (Lkan) 3/2025, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, langkah pemerkasaan ini direalisasikan apabila Akta Audit 1957 [Akta 62] dipinda pada tahun 2024, selepas 33 tahun tidak disentuh.
“Pindaan ini membuka lembaran baharu kepada Jabatan Audit Negara (JAN) sebagai institusi audit bebas yang memainkan peranan penting dalam memastikan akauntabiliti kerajaan di semua peringkat.
“Kerajaan tidak akan mencampuri urusan audit, sebaliknya memberi ruang sepenuhnya kepada JAN untuk bertindak secara profesional dan bebas. Malah, peranan pengauditan kini turut diperluas kepada lebih 2,000 syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), satu langkah penting dalam agenda reformasi perkhidmatan awam demi ketelusan dan tadbir urus baik.
“Apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan, ia bukan sekadar diletakkan di atas meja. Kita membenarkan laporan ini diteliti dan dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat. Kerana hanya melalui perbahasan dan penelitian, dapat memperbaiki kelemahan, memahami teguran, dan menambah baik sistem kita,” katanya lagi.
Tambah Azalina, LKAN kali ini adalah lebih komprehensif berbanding LKAN terdahulu dan merangkumi pengesahan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun brakhir 31 Disember 2024.
“Analisis Kewangan Kerajaan Persekutuan; Prestasi Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12; Fokus Utama Audit; Pengauditan Pejabat Perwakilan; Pengauditan Status Penyiapan Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul; Pengauditan Syarikat Kerajaan; dan status tindakan bagi isu yang dilaporkan dalam LKAN.
“Bagi menambah baik kelemahan yang dibangkitkan atau mengelakkan kelemahan yang sama berulang, sebanyak 27 syor telah dikemukakan dalam LKAN ini untuk diambil tindakan oleh kementerian,jabatan,agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan berkenaan.”
Ujarnya lagi, ia membuktikan Kerajaan MADANI ini tidak takut kepada kritikan, malah menerima pandangan untuk terus memperbaiki apa-apa yang perlu ditambahbaik.
“Kita telah melihat ‘trend positif’ daripada tahun ke tahun dan hasil daripada perbincangan dan teguran yang membina. Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah menyumbang kepada perbahasan ini,” tegasnya. – UMNO Online
