RUU Pinda Perlembagaan Asing Peranan AG, Pendakwa Raya Dibentang Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan cadangan untuk memisahkan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya adalah sebahagian daripada agenda penting yang sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ia bukan sekadar teknikal undang-undang tetapi berkait langsung dengan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan, prinsip akauntibiliti serta ketulusan pentadbiran undang-undang.

“Sebab itu, kerajaan tidak mahu melaksanakan secara tergesa-gesa tetapi mengambil pendekatan yang teliti, menyeluruh dan inklusif.

“Pada 10 September 2025 tahun ini, Jemaah Menteri telah mengambil satu langkah yang besar dengan persetujuan dasar untuk menerima pakai model pengasingan penuh di mana fungsi peguam negara dan pendakwa raya akan dipegang oleh dua individu yang berbeza dengan kedudukan yang setara.

“Disebabkan oleh keputusan tersebut, maka langkah seterusnya adalah dalam menjayakan usaha reformasi ini, pertama sekali pindaan terhadap Perlembagaan persekutuan perlu dibuat bagi membolehkan pelaksanaan pemisahan peranan dan kuasa peguam negara dan pendakwa raya dibuat sah di segi undang-undang.

“RUU Perlembagaan persekutuan pindaan ini dihasratkan untuk dibentangkan pada tahun hadapan,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkenaan status terkini cadangan pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut kata Azalina, pindaan tersebut penting kerana ia akan mewujudkan kerangka undang-undang yang memisahkan secara rasmi fungsi nasihat undang-undang kerajaan oleh peguam negara, termasuk fungsi pendakwaan jenayah oleh pendakwa raya dan juga peruntukan peralihan.

“Selepas pindaan Perlembagaan persekutuan ini dikuatkuasakan kerajaan kemudiannya akan membentangkan dua RUU susulan iaitu RUU saraan bagi menetapkan struktur gaji dan elaun untuk jawatan baru pendakwa raya dan RUU pembaharuan undang-undang pendakwa raya iaitu sebuah RUU omnibus yang akan meminda pelbagai undang-undang lain yang berkait rapat dengan fungsi pendakwaan.

“Ini bermaksud kerajaan telah menyediakan bukan sahaja pelan dasar tetapi juga garis masa yang konkrit untuk melaksanakan reformasi yang besar ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO