Malaysia Terus Komited Pertahan Palestin Di Peringkat Global
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan Malaysia kekal konsisten dengan dasar luar yang berteraskan keadilan sejagat, menolak kezaliman dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis berkata ia dilakukan menerusi semua platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.

Kredit: Jabatan Penerangan
“Malaysia dalam semua platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), ASEAN telah dan akan terus menegaskan sokongan penuh terhadap perjuangan dan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan pra 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan semasa membentangkan kenyataan negara di Perhimpunan Agung PBB di New York baru-baru ini juga menegaskan pendirian Malaysia bahawa penyalahgunaan kuasa veto telah melumpuhkan kemampuan PBB untuk bertindak balas terhadap konflik di Gaza.
“Sehubungan itu, Malaysia menekankan tiga perkara utama iaitu keperluan untuk mengambil tindakan konkrit terhadap kuasa pendudukan; kedua, komitmen untuk memberikan sokongan jangka panjang kepada pembangunan sebuah negara Palestin yang berdaulat serta mampu mentadbir sendiri; dan ketiga, pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap struktur PBB, khususnya Majlis Keselamatan, agar lebih inklusif dan berkesan,” ujar beliau.
Menurut beliau negara juga komited dalam meneruskan usaha diplomasi dengan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara sepemikiran serta menyokong inisiatif kemanusiaan di Gaza.
Katanya ia termasuk penglibatan rakyat Malaysia dalam misi flotila antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. – UMNO Online
