Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor: Harapan Baharu Anak Muda Orang Asli

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor (PLPB) di Kuantan, Pahang, hari ini.

“Alhamdulillah, setelah dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta, PLPB kini kembali beroperasi dengan wajah dan nafas baharu, lengkap dengan fasiliti moden serta pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Insya-Allah, menjelang hujung tahun 2025, kohort pertama anak-anak Orang Asli akan memulakan pengajian bagi memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3.

“Pusat latihan ini merupakan simbol harapan baharu bagi masyarakat Orang Asli, khususnya golongan belia untuk menguasai bidang strategik yang diperlukan industry,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Jelas Ahmad Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan wujudnya PLPB tersebut, beliau yakin lebih ramai anak muda Orang Asli akan tampil sebagai generasi berkemahiran tinggi yang mampu membina masa depan diri, keluarga, bangsa dan negara.

“Patik dan seluruh warga KKDW serta JAKOA merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku mencemar duli ke majlis bersejarah ini.

“Doa kami agar keberangkatan Tuanku sentiasa dilimpahi rahmat dan kesejahteraan berpanjangan. Menjunjung Kasih Tuanku,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO