ACLAC 2025: Wadah Usaha Serantau Bina Sistem Bantuan Guaman Kanak-Kanak – Azalina

KUALA LUMPUR, 9 Sept – ASEAN Convention on Legal Aid for Children (ACLAC) 2025 menjadi wadah untuk menyatukan usaha serantau bagi membina sistem bantuan guaman mesra kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, konvensyen tersebut menjadi titik tolak baharu demi memastikan kanak-kanak di rantau ini mendapat hak pembelaan yang adil.

“Malaysia telah membuka tirai ACLAC 2025 – konvensyen julung-julung kali diadakan anjuran Jabatan Bantuan Guaman menjadi sebuah titik tolak baharu untuk memastikan setiap kanak-kanak di rantau ini mendapat pembelaan yang adil, tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan.

“Ini bertepatan dengan langkah Malaysia menggubal Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang menjamin semua kanak-kanak dalam kes jenayah mendapat pembelaan wajar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, akta tersebut turut menjamin bantuan guaman meliputi semua kanak-kanak.

“Selain itu, bantuan guaman meliputi semua kanak-kanak, tanpa mengira kewarganegaraan dan buat pertama kali, Jabatan Bantuan Guaman turut menyediakan perkhidmatan pembela awam.

“Seiring dengan inisiatif ASEAN seperti klinik guaman bergerak, mahkamah juvana dan rangkaian pro bono – ACLAC 2025 menjadi wadah menyatukan usaha serantau bagi membina sistem bantuan guaman mesra kanak-kanak.

“Marilah kita tunjukkan kepada dunia bahawa jiwa ASEAN adalah adil, penyayang dan bersatu,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan Azalina berpandangan bahawa negara anggota ASEAN perlu menghapuskan tembok yang menghalang kanak-kanak daripada mendapat akses kepada keadilan, dan bekerjasama untuk menjamin hak mereka melalui mekanisme bantuan guaman yang lebih kukuh.

Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Konvensyen ini membincangkan mengenai bantuan guaman untuk kanak-kanak dalam kes sivil, jenayah dan syariah, perspektif antarabangsa dan nasional tentang isu perundangan berkaitan dengan kanak-kanak, serta strategi untuk memperluas akses kepada keadilan dan mengintegrasikan inisiatif bantuan guaman ASEAN dalam rangka kerja negara.

Sebanyak tujuh negara iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Kemboja, Singapura, Vietnam dan Timor-Leste menyertai konvensyen itu dengan 16 delegasi membentangkan kertas kerja berkenaan mekanisme, pengalaman serta idea berkaitan dengan bantuan guaman untuk kanak-kanak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO