Belanjawan 2026: Perkukuh Dasar Pembangunan, Sejahterakan Rakyat – Mohd Zaidy
JEMPOL, 8 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan komitmen beliau untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat melalui perancangan dan dasar pembangunan negeri yang lebih teratur, inklusif dan mampan.
Beliau berkata demikian selepas turut serta dalam Mesyuarat Konsultasi Belanjawan 2026 Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Mohd Zaidy menyertai sesi perbincangan serta libat urus bersama Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital yang diterajui oleh Datuk Mohd Faizal Ramli.

Menurut beliau, sesi berkenaan merupakan platform penting bagi meneliti cadangan, keutamaan serta hala tuju perbelanjaan Kerajaan Negeri Sembilan menjelang Belanjawan 2026.
“Perbincangan seperti ini amat penting kerana ia memberi ruang kepada kita untuk menyuarakan pandangan serta menyumbangkan idea demi memastikan setiap dasar yang digubal benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Diharapkan segala input, pandangan dan usul yang dibawa dapat memperkukuh dasar pembangunan negeri, memastikan kesejahteraan rakyat, serta melonjakkan pentadbiran ke arah lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mohd Zaidy turut menekankan kepentingan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagaimana yang telah disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, TVET perlu dilihat sebagai agenda utama dalam membina masa depan tenaga kerja negeri, bukan sahaja untuk golongan belia tetapi juga bagi golongan istimewa.
“TVET perlu diberi perhatian khusus termasuklah kepada golongan orang kurang upaya (OKU). Malah, penglibatan pelajar sekolah dalam program TVET wajar diberi tumpuan kerana ia mampu membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk membina kemahiran sejak awal lagi.
“Cadangan ini adalah antara yang telah disuarakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026, dan saya amat menyokong usaha ini,” ujar beliau.
Beliau menambah, dengan memberi tumpuan kepada TVET, negara bukan sahaja berupaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah mampu menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor industri dan teknologi.
“Apabila modal insan kita diperkasa dengan kemahiran teknikal, negeri akan berada dalam posisi lebih bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi semasa dan masa depan. TVET bukan sekadar tentang menyediakan pekerjaan, tetapi ia adalah kunci kepada mobiliti sosial, peningkatan taraf hidup rakyat serta daya saing negeri secara keseluruhannya,” jelas beliau lagi.
Mohd Zaidy turut menegaskan bahawa penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk memastikan dasar-dasar pembangunan negeri berjaya dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau yakin, Belanjawan Negeri 2026 bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan menyeluruh dengan menitikberatkan aspek pendidikan, teknologi, inovasi serta kesejahteraan sosial demi manfaat seluruh rakyat Negeri Sembilan. – UMNO Online
