Wanita Segamat Perkukuh Kemahiran IT Melalui Taklimat R10 Dan Sistem SIJR
SEGAMAT, 4 Jun – Wanita UMNO Segamat terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuhkan keupayaan teknologi maklumat (IT) apabila berjaya menganjurkan taklimat R10 serta sesi pemahaman mendalam mengenai Sistem Informasi Jalinan Rakyat (SIJR) baru-baru ini.
Taklimat tersebut disertai oleh Ketua Jawatankuasa Penyelaras UMNO (JR) dan pegawai IT, dengan fokus kepada penguasaan sistem yang lebih efisien serta pemantapan kecekapan digital dalam pengurusan organisasi.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah yang sangat positif ke arah melahirkan barisan kepimpinan wanita kompeten, celik teknologi, dan bersedia menghadapi cabaran semasa.
“Saya setuju dengan kenyataan bahawa walaupun Menteri Besar telah memaklumkan bahawa tiada pilihan raya dalam masa terdekat, kita sebagai pemimpin tetap perlu memberi fokus kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Persediaan awal adalah kunci bagi memastikan kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam hal ini, beliau turut menghargai semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ketua JR dan petugas wanita yang terlibat dalam taklimat berkenaan.
“Komitmen mereka mencerminkan kesungguhan kita untuk menjadi lebih efisien dan cekap dalam menggunakan sistem teknologi yang disediakan. Saya berharap agar Wanita Segamat terus berusaha, mempermudahkan urusan dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.”
Menurutnya lagi, taklimat yang jelas dan padat itu telah membantu peserta memahami operasi sistem SIJR dengan lebih mendalam, seterusnya membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu tersebut dalam tugasan harian.
“Peningkatan pengetahuan dan kemahiran IT di kalangan kita amat penting untuk memastikan peranan kita sebagai pemimpin terus relevan, dinamik dan berkesan.”
Ujarnya, program seumpama ini dilihat selaras dengan aspirasi UMNO untuk memperkasa wanita sebagai tulang belakang organisasi dan pemangkin kepada pembangunan masyarakat setempat. – UMNO Online